Tuesday, November 20, 2012

Istimewanya Muharram 1434H Ini

Assalamu'alaikum wbt.

Lewat perbualan telefon dengan Ummi pada hujung minggu lepas, Ummi mengingatkan kepada saya supaya berpuasa hari as-Syura (10 Muharram) dan berpuasa sama ada sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya. 

Kemudian saya katakan kepada Ummi yang saya sebenarnya mahu berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharram. Azam saya, saya mahu berpuasa pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad ini. Kemudian baru teringat, eh, hari Khamis juga biasanya saya berpuasa. Isnin juga. 

Terus saya beritahu Ummi, "Maknanya, kakak akan puasa 5 hari berturut-turutlah ni, Ummi."

"Kalau tak larat, tak payahlah puasa hari Ahad tu." Balas Ummi.

Saya tercongak-congak sendiri. "Tak  apalah. Kakak 'try'lah puasa straight 5 hari tu. In syaa ALLAH."

Usai sahaja perbualan dengan keluarga, saya terpaku melihat perkongsian seorang sahabat di laman Facebook. 



Eh? Sebelum ini saya tidak perasan pun yang tanggal 27, 28 dan 29 November ini merupakan hari-hari putih ataupun dikenali sebagai Ayyamul Bidh.

Dari Qatadah bin Milhan ra. yang menceritakan: "Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya berpuasa pada hari-hari putih iaitu hari ke-13, 14 dan 15 di mana baginda bersabda: "Berpuasa pada ketiga-tiga hari itu seumpama berpuasa sepanjang masa." 
[Hadis Riwayat Abu Daud]

Kiranya, puasa pada hari Isnin dan Khamis ini seperti yang kita ketahui menjadi amalan Rasulullah. 

Dari Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat ALLAH) pada setiap hari Isnin dan Khamis, oleh itu aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa." 
[Hadis Hasan Gharib - Riwayat Tirmizi]

Berpuasa pada bulan Muharram pula merupakan puasa yang paling afdal selepas puasa bulan Ramadan  dan ganjaran berpuasa sehari di dalam bulan Muharram mendapat pahala seperti 30 hari.  

Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasullullah SAW yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan 
seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." 
[Riwayat Muslim]


Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan 
sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram 
maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari."
 [Dikeluarkan oleh al-Tabrani]


Tidak lupa berpuasa pada hari as-Syura pula in syaa ALLAH dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.





Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)

Daripada Abi Qatadah RA bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: 
"Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." 
[Riwayat Muslim]
Puasa hari Tasu'a (9 Muharram)

Ia disunatkan, walaupun Rasullullah s.a.w. tidak sempat mengerjakannya, bagaimanapun
 baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, 
aku akan berpuasa pada 9 Muharram." 
[Riwayat Ahmad dan Muslim]


Subhana-ALLAH! Masya-ALLAH! ALLAHU AKBAR! Muharram 1434H kali ini, ALLAH memberikan peluang kepada kita semua untuk merebut sebanyak mungkin ganjaran yang telah DIA janjikan. 

Apa yang ditunggu lagi wahai sahabat sahibah sekalian? Ayuh! Bersama kita merebut peluang keemasan ini. Semoga kita diberikan kesempatan oleh ALLAH untuk melaksanakannya. In syaa ALLAH. 

Peluang sebegini hanya datang sekali-sekala sahaja. Peluang yang ada di hadapan mata sebegini jika kita lepaskan, mungkin kita tidak akan berpeluang menemuinya lagi pada masa akan datang. Mungkin sahaja ini peluang terakhir kita sebelum kita dijemput menemui-NYA. Siapa tahu kan? Soal ajal maut segalanya ada pada tangan Yang Maha Khaliq. 

Nota 1: Teruskan berdoa, menyumbang, qunut nazilah, mengikuti dan berkongsi perkembangan saudara kita di Gaza sana. Tidak lupa juga saudara kita di Syria, Rohingya dan di seluruh dunia. Doakan mereka. Doa kita amat bermakna buat mereka. In syaa ALLAH.

Nota 2: Berusahalah supaya ALLAH tidak menghijabkan doa kita. Bersama kita perbaiki diri ke arah kebaikan. Bersama kita mengislah diri ke arah menjadi individu muslim yang soleh dan musleh. 

"Mahu berubah, tidak semestinya perlu berkahwin terlebih dahulu. Mahu berkahwin, pastinya perlu berubah. Sebabnya kitalah yang akan mencorakkan 'masjid' yang dibina." 

Nota 3: Kesindiran itu makin melukakan hati. Berterus teranglah, berlemah lembutlah dalam menyampaikan kebaikan. Sifat seorang dai'e itu adalah seorang yang pemujuk bukannya pengutuk. Seorang dai'e itu adalah bersikap membina jambatan dan tautan bukannya membina tembok pemisah. Dai'e itu bertindak mengajak bukannya mengajar. 

No comments: