Saturday, November 19, 2011

Si Manis Gula-Gula Kapas

“Petang ni turun padang, jom!” Serentak itu tangan didaratkan di bahu teman yang sedang elok bersila di atas lantai. Kemudian kaki di halakan ke arah pintu bilik air.

Set!” Terus terluncut kalimah itu dari bibir tanpa sempat otak habis mencerna maklumat yang diterima. Tumpuannya masih focus kepada Digital single-lens reflex cameranya. Nikon AF Nikkor 50mm full frame (FX) Prime lens yang tersadai di sisi dicapai lalu dipasangkan pada DSLR. Kemudian lensa itu dilaraskan. Diangkat gajet itu dekat ke muka, serentak itu jari telunjuk menekan picu.

“Hoi! Gambar aku pakai towel pun nak snap jugak ke?!” Shahir yang baru keluar dari bilik air bertempik kuat. Rona wajahnya sudah bertukar merah. Marah bercampur malu mungkin.

Ops! Sorry…Aku nak test lens baru je.” Selamba ditayangkan barisan gigi yang tersusun rapi kepada Shahir yang ternyata bengang dengan tindakannya tadi.

“Nak test pun jangan la snap sembarangan kawan! Delete balik gambar tadi.” Nampaknya marah itu masih menguasai diri. Nampak dek orang lain, tak ke jadi bahan gelak nanti. Haru!

“Dah. Sorry eh.” DSLR sudah terdampar di atas riba. Kedua tangan dirapatkan lalu dinaikkan hingga ke paras bahu. Tanda memohon maaf atas kesilapan.

“Ye la. Dimaafkan. Don’t do it again!” Sempat diselitkan kata-kata berbaur amaran. Budak Rayyan ni bukan boleh dibuat main. Sudah kenal benar dengan perangai gila-gila dia tu. Suka sangat menyakat kawan-kawan.

*****

Petang itu padang yang terletak berhampiran dengan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) itu riuh-rendah sekali. Pelbagai gelagat dapat dilihat. Ada sekumpulan pelajar yang sedang bermain bola sepak, ada juga yang berlatih bola keranjang dan tidak kurang juga yang hanya menjadi penonton.

Botol mineral di dalam beg galasnya dicapai dengan tangan kanan, serentak itu tangan kirinya membuka penutup botol. Tekak yang tadi terasa perit dek kerana penat berkejaran mengejar sebiji bola terasa sejuk saat air mengalir di rengkungnya.

“Nak sikit.” Ada satu tangan lain terjulur di hadapannya.

“Nah.” Diunjukkan botol mineral yang sudah tinggal separuh itu kepada kawan di sebelah. Masing-masing sudah duduk bersila di tepi padang setelah game selesai. Baju sukan masing-masing sudah lencun penangan peluh. Pengeluaran peluh itu kan bagus untuk kesihatan. Jadinya bersukan itu memang amat digalakkan. Bila badan cergas barulah otakkan akan menjadi cerdas.

“Weh, kemas cepat! Kejap lagi dah nak Maghrib. Kang tak sempat nak berjemaah di surau.” Rayyan sudah bangkit dari silanya. Beg galas disandang di bahu. Berura-ura untuk berlalu pergi.

“Ala..relaks la, Rayyan. Sembahyang dalam bilik pun boleh kan?” Nazrin seolah-olah memujuk Rayyan untuk berada lebih lama di situ.

“Memang la boleh. Tapi besar pahalanya tahu kalau sembahyang jemaah.” Rayyan menggunakan kaedah diplomasi. Menyetujui apa yang dikatakan Nazrin terlebih dahulu sebelum menyatakan pendiriannya. Dia teringat kepada hadis yang dibacanya di dalam Kitab Riyadhus Solihin beberapa ketika yang lalu.

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda, “Solat jemaah adalah lebih utama daripada solat fadz – yakni sendirian - dengan kelebihan dua puluh tujuh darjat.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Dari Usman r.a berkata : “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang mengerjakan solat Isyak dengan jemaah, maka seolah-olah ia mendirikan solat separuh malam dan barang siapa yang mengerjakan solat Subuh dengan jemaah, maka seolah-olah ia mendirikan solat semalam suntuk.”” (HR Muslim)

Sejak daripada itu dia berusaha untuk tidak meninggalkan solat berjemaah terutamanya solat Subuh dan solat Isyak. Dia benar-benar terkesan saat membaca hadis tentang keutamaan solat Subuh dan Isyak berjemaah.

Rugi rasanya apabila meninggalkan solat berjemaah. Melihat kawan-kawannya masih santai melepak di tepi padang itu sambil berborak-borak, dia mengorak langkah. Badan berpeluh, harus mandi terlebih dahulu sebelum ke surau. Sayup kedengaran seseorang memanggil namanya. Dihentikan langkah dan dia menoleh ke arah suara yang memanggil.

“Rayyan! Aku ikut!” Termengah-mengah Shahir saat tiba di sisi Rayyan. Dihulurkan senyuman ikhlas kepada Shahir.

“Jom!” Langkah diteruskan menuju ke asrama penginapan. Beriringan dengan teman sebiliknya; Shahir. Alhamdulillah. Ada juga yang tergerak hati untuk mengikutnya. Syukur, Ya ALLAH. Hatinya berbisik perlahan.

Diakui, dia bukannya budak baik, stok alim. Stok ustaz. Stok budak surau. Tapi tak bermakna dia boleh mengabaikan suruhan dan perintah ALLAH. Perangainya memang sempoi dan agak gila-gila sedikit. Masa lapangnya banyak dihabiskan dengan mengelek kamera gabaknya ke hulu ke hilir. Mengambil gambar itu memang hobinya sejak dahulu lagi. Baginya fotografi itu satu seni. Namun itu tidak bermakna ia seni yang melalaikan. Bersukan pula memang diketahui menyihatkan tubuh badan. Tidak salah bersukan. Cumanya perlulah mengikut garis dan syariat. Solat dan aurat jangan diabaikan.

Bercakap fasal aurat. Dia teringat waktu mula-mula masuk UTM dulu. Saat kali pertama turun padang bermain bola sepak bersama budak-budak satu fakulti. Semua orang pandang pelik. Mana tidak peliknya, dia seorang sahaja yang turun padang memakai seluar panjang. Yang lain memakai seluar paras lutut.

Namun yang normal itu tidak semestinya normal pada pandangan ALLAH bukan? Aurat lelaki dari pusat hingga lutut. Jadinya bila pakai seluar paras lutut, sudah pastilah aurat itu terserlah. Orang selalu menitikberatkan aurat perempuan. Sehinggakan aurat lelaki diabaikan.

Sejak dia menjelaskan perihal aurat itu kepada semua, rata-rata sudah menunjukkan perubahan. Kini makin ramai yang memakai seluar paras betis. Syukran lillah. Hamdan lillah atas kesedaran ini, Ya Rabb.

Walaupun seluar paras betis itu kadang-kadang masih boleh mendedahkan aurat, namun itu sudah menunjukkan satu perubahan yang bagus. Moga lambat-laun mereka memakai seluar panjang ketika bersuka. Dijamin aurat terjaga!

*****

Malam itu, sesudah bersalaman dengan para jemaah surau, dia mencapai DSLR kesayangannya lalu menuju ke beranda surau. Lensa kamera dilaraskan, didekatkan gajet itu ke muka lalu picu ditarik. Kelihatan jemaah sedang beransur meninggalkan masjid; lelaki dan perempuan. Beberapa keping gambar pelajar perempuan yang sedang bersalaman berhampiran pintu pagar surau ditangkapnya. Kemesraan mereka menarik minatnya untuk mengabadikan gambar itu di dalam memory card kameranya.

“Rayyan, jom pergi kafe. Tak habis-habis dengan kamera gabak dia tu.” Shahir menepuk perlahan bahu Rayyan yang masih fokus menekan picu kameranya.

“Ha. Jom!” Kamera disangkutkan di pangkal leher. Mereka mula bergerak meninggalkan perkarangan surau. Perut perlu diisi. Sambil itu sempat lagi dia menangkap gambar bulan purnama yang indah memancarkan cahaya. Balik nanti dia mahu mengedit gambar-gambar yang diambilnya tadi. Kepalanya sudah merangka-rangka plan untuk malam ini.

“Alamak, Rayyan. Aku baru teringat. Aku ada janji dengan Hazriq la…” Shahir menepuk dahinya. Menandakan dia betul-betul terlupa akan janji yang telah dibuatnya.

“Aku ke kafe sorang la ni eh?” Rayyan memandang Shahir yang kelihatan serba-salah.

“Macam tu la nampaknya.” Shahir tersengih serba-salah.

“Hmm. Takpe la. Pergi la.”

Sorry bro. Aku pergi dulu.” Rayyan hanya memandang Shahir yang sudah berpatah balik menuju ke arah surau semula. Dia mengeluh. Langkah kembali diatur menghala ke kafe. Apapun perut perlu diisi.

*****

Mangkuk mee rebus yang masih panas dipegangnya dengan tangan kanan sambil matanya melilau-lilau mencari tempat kosong untuk duduk. Memang waktu sebegini kafe akan dipenuhi dengan pelajar. Di hujung kafe kelihatan meja yang baru sahaja dikosongkan. Tanpa berlengah terus sahaja dia melangkahkan kaki menuju ke sana.

Namun belum sempat dia sampai, dua orang gadis sudah duduk mengambil tempat di meja tadi. Meja yang boleh memuatkan empat orang itu masih mempunyai dua tempat kosong. Pandangannya ditebarkan sekali lagi mencari kalau-kalau ada tempat yang baru ditinggalkan oleh pelanggan. Hampa. Nampaknya dia kena juga ke meja yang masih mempunyai dua tempat kosong itu. Sudah tiada pilihan lain lagi.

Ditolehkan kembali ke arah meja tadi. Seorang gadis sudah bangun menuju ke arah kaunter makanan. Dia menghampiri meja itu dan teragak-agak untuk menegur.

“Err..maaf. Boleh tumpang duduk tak? Tempat lain dah penuh.” Rayyan berdiri di sebelah di sebelah kiri gadis yang kini keseorangan ditinggalkan temannya yang sudah bergerak untuk membeli makanan. Gadis itu menoleh ke arahnya seketika sebelum ditebarkan pandangannya ke sekeliling kafe. Mungkin untuk memastikan apa yang dikatakan Rayyan itu betul atau sebaliknya. Kemudian wajahnya kembali dihalakan ke arah Rayyan.

“Hmm. Duduklah.”

“Terima kasih.” Segarit senyuman dihadiahkan buat gadis tadi. Senyumannya dibalas dengan anggukan. Serentak itu kerusi yang betul-betul di sebelah kiri gadis itu ditarik. Hanya beg yang berisi kain telekung milik gadis itu yang memisahkan sedikit kedudukan mereka. Setelah itu tali kamera ditarik melepasi pangkal leher dan diletakkan di kanannya. Tanpa berlengah tangan diangkat, doa sebelum makan dibaca dan selepas lafaz basmallah sudu dan garfu di capai.

“Nah, ini char kueh teow Filzah.” Pinggan berisi char kueh teow itu diletakkan di hadapan gadis yang menunggu sementara kawannya itu mengambil tempat di kerusi yang bertentangan sambil meletakkan sepinggan nasi goreng kampung di atas meja.

“Thanks, Yan.”

No problem.”

Rayyan hanya mendengar perbualan mereka. Tidak dihiraukan sedikit pun. Dia masih khusyuk menghadap mee rebusnya. Perasan dirinya diperhatikan, kepala yang tadinya tunduk menghadap makanan diangkat. Pandangan pelik gadis yang baru tiba dibalas.

“Err..tumpang duduk. Tempat lain…” Pandangannya ditebarkan sekali lalu ke kawasan kafe sebelum dia menyambung semula katanya. “…dah penuh. Harap tak kisah.” Sedikit gagap dia memberitahu duduk perkara yang sebenar.

“Oh…takpe-takpe. Tak kisah pun…” Kemudian masing-masing senyap menghadap makanan yang sedia terhidang.

*****

“Bhai, sakan kau eh. Dating dengan dua makwe serentak tu!” Nazrin menepuk bahu Rayyan yang baru sampai di dewan kuliah. Belum sempat duduk, dia sudah disapa dengan gosip yang dia sendiri tidak tahu hujung pangkalnya.

“Apa kau cakap ni?” Bila masa pula aku dating ni? Kepala yang tidak gatal digaru. Itu tindakan refleknya bila dia sedang memikirkan sesuatu.

“Malam tadi la. Balik dari surau dating kat kafe eh?” Nazrin sudah tersengih sumbing. Punya la ajak orang jemaah kat surau. Lepas tu dia dating baik punya di kafe kolej. Hamboi!

“Hah? Dating apa pulak? Aku kenal pun tidak budak dua orang tu. Tumpang duduk kat meja diaorang je pun. Bercakap pun tidak.” Rayyan menjelaskan duduk perkara sebenar.

“Eh?” Nazrin menjungkit-jungkitkan keningnya. Tanda tidak percaya dengan kata-kata Rayyan.

Baru sahaja Rayyan ingin membuka mulut untuk membela dirinya, keadaan dewan yang tadinya hingar-bingar menjadi sunyi sepi. Kelihatan Dr. Azlan sedang melangkahkan kakinya ke dalam dewan kuliah.

“Dah. Dah. Jangan nak buat gosip eh.” Dia menutup topik itu. Dan mula menumpukan perhatian kepada pelajaran yang bakal berlangsung.

*****

Memandangkan esok hujung minggu dan assignmentnya sudah disiapkan, Rayyan mencapai memory card DSLRnya. Masa untuk mengedit gambar! Selalunya selesai mengedit, dia akan meng‘upload’ foto-foto berkenaan di Flickr dan blog miliknya.

Dia melihat balik hasil gambar yang diambilnya. Sedang rancak jari manis kanannya mengklik butangnext pada keypad mouse, tiba-tiba perbuatan itu terhenti dengan sendiri saat matanya menangkap gambar seorang gadis yang sedang tersenyum bersama beberapa orang yang masih bertelekung di perkarangan surau. Wajah gadis itu begitu jelas terfokus sehinggakan senyuman yang terukir jelas kelihatan. Mata terpaku melihat senyuman manis si gadis. Semanis gula-gula kapas!

“Macam pernah tengok. Tapi di mana ye?” Rayyan menggendang meja sambil memikirnya di mana dia pernah terjumpa dengan si manis gula-gula kapas itu.

Rayyan teringat kejadian di kafe tadi. Dia pasti gadis yang ditegurnya tadi ialah gadis yang sama dengan gadis di dalam gambar ini. Beg telekung di atas meja makan tadi makin menguatkan tekaannya.

“Aha! Kafe!” Jari dipetik. Bibir tanpa dapat ditahan mengukirkan senyuman. Terus diasingkan gambar-gambar yang ada gadis tadi ke dalam satu folder lain.

“Akan ku jejaki si manis gula-gula kapas ini nanti.” Rayyan bersuara perlahan sambil matanya ralit menatap foto gadis yang sedang tersenyum manis itu.

Sejak itu, Rayyan sentiasa terserempak dengan si manis gula-gula kapas. Kadang-kadang dia sengaja mewujudkan pertemuan. Setiap kali itu juga kameranya memainkan peranan. Pelbagai gelagat dan aksi diambil secara candid. Kemahirannya dalam fotografi dimanfaatkan sebaik mungkin.

Apabila mempunyai masa lapang, dia akan mengedit gambar-gambar yang diambilnya menggunakanphotoshop. Dia tidak pasti kenapa dia berbuat demikian. Apa yang pasti, dia berasa puas. Baginya perbuatannya itu tidak salah. Mengambil gambar makhluk ciptaan ALLAH. Tiada salahnya bukan? Menghargai kesempurnaan ciptaan Ilahi. Walaupun tanpa pengetahuan tuan punya badan.

*****

Setiap kali ada event, pasti Rayyan tidak melepaskan peluang untuk menawarkan diri menjadi jurugambar. Peluang itu juga digunakan sepenuhnya untuk mencari kelibat si manis gula-gula kapas. Disebabkan itulah dia berada di dewan yang cantik berhias pada malam ini. Dia merupakan salah seorang photographer yang ditugaskan untuk menangkap gambar sepanjang majlis makan malam itu berlangsung.

“Rayyan, pergi la ambil makanan dulu. Nanti sambung balik tangkap gambar.” Dr. Azlan selaku penyelia program malam itu memberikan arahan. Sedari tadi lagi diperhatikan Rayyan bergerak ke hulu dan ke hilir bersama DSLRnya. Rasanya Rayyan belum menjamah sebarang makanan lagi.

“Baik, Dr. Saya pergi ambil makanan dulu.” Dia yang tadi sibuk membetulkan lensa kamera berhenti berbuat demikian. Kaki dihayun menghampiri meja buffet. Pinggan dicapai lalu dia mendekati meja yang menempatkan pencuci mulut. Terasa sedap pula cupcake yang berwarna-warni itu. Serasa perutnya tidak mahu menerima makanan berat ketika ini. Belum sempat tangannya mencapai cupcake di hadapan, ada tangan lain yang terlebih dahulu mengambil cupcake berkenaan. Dia menoleh ke sisi.

“Eh? Nak cupcake jugak eh? Maaf, tak perasan.” Tanpa menunggu jawapan dari Rayyan, figura yang ayu berbaju kurung kapas berwarna ungu lembut dan berbunga putih tabur itu meletakkan cupcake yang dicapainya tadi ke dalam pinggan Rayyan. Kemudian sebiji lagi cupcake diambil dan diletakkan ke dalam pinggan miliknya. Senyuman nipis terbit di bibirnya kemudian kepalanya ditundukkan sedikit sebagai tanda ingin berlalu. Kemudian kelibat itu menghilang di tengah-tengah kemeriahan majlis.

Rayyan masih terpaku di hadapan meja buffet. Matanya masih lagi memandang ke arah gadis tadi menghilang. Dipandangnya pula cupcake di pinggan. Perlahan-lahan bibirnya menguntumkan senyuman lebar. Tidak sangka malam ini dia berpeluang bertemu empat mata dengan si manis gula-gula kapas. Siap diberikancupcake lagi! Selama ini dia hanya mampu memandang dari jauh sahaja.

*****

Rayyan membetulkan lensa kameranya. Hari ini dia ingin mencuba lensa yang baru dibelinya. Langkah diatur kemas menghala ke taman rekseasi. Sesekali dia berhenti mengambil gambar kanak-kanak yang ceria berkejaran dan juga mengambil gambar panorama yang indah terbentang.

Penat mengambil gambar, Rayyan melabuhkan duduknya di tepi tasik. Dibelek-beleknya gambar yang diambilnya tadi. Gambar yang dirasakan tidak cantik dibuang dari kotak memori. Sesekali dia tersengih apabila melihat gambar yang dirasakan lucu.

“Filzah! Tunggu la….” Dia mendengar suara seseorang beserta derapan tapak kaki yang berhenti berhampiran dengan tempatnya duduk. Hanya dua, tiga langkah kaki yang memisahkan mereka.

“Cepatlah! Baru satu pusingan kot…” Tangan dicekakkan ke pinggang. Sedikit regangan dilakukan sementara menunggu kawannya yang sedikit termengah-mengah tidak jauh dari situ.

Rayyan mengangkat wajahnya. Pandangan dihalakan ke arah suara yang bertingkah. Tubuh yang sedang melakukan regangan itu jelas terpapar di layar pandangannya. Erk? Si manis gula-gula kapas! Ini kalau snapgambar dia, memang boleh nampak jelas sangat. Tanpa membuang masa, kamera yang tadinya elok terletak di riba diambil dan didekatkan ke muka. Pantas sahaja jari-jemarinya bekerja menekan picu.

Klik!

Pancaran cahaya dan sedikit bunyi yang terhasil daripada kameranya menarik perhatian gadis yang sedang bercekak pinggang itu. Matanya tajam mencerun ke arah Rayyan.

“Alamak! Kantoi!” Rayyan berdesis perlahan. Macam mana dia boleh terlupa untuk menukarkan auto-flash kepada flash-off tadi? Tengok, kan sudah tertangkap red-handed dengan si manis gula-gula kapas! Dia memarahi dirinya sendiri. Pandangan mencerun gadis itu tidak dapat dibalasnya. Tahu diri bersalah.

Rayyan bangkit dari duduknya. Sementara gadis tadi sudah membuka langkah menghampirinya. Muka masih ketat. Serius.

“Assalamu’alaikum.” Salam berbalas perlahan. Terasa suaranya tersekat di kerongkong. Biasalah, tindakan biasa orang yang bersalah.

“Hmm..awak ambil gambar apa tadi? Boleh tengok tak?” Lembut sahaja pertanyaan itu meluncur dari gadis yang sedang berdiri di hadapannya kini. Namun masih terselit tegas di sebalik kata-kata itu.

“Err…” Rayyan menggelabah. Mana mungkin dia mahu mengaku yang dia menangkap gambar gadis itu. Malu pula mahu mengaku. Sudahnya sengihan serba-salah ditayangkan. Tangannya menggosok-gosok belakang kepalanya. Nampak benar dia malu dan serba tidak kena.

Perbuatannya itu sudah cukup untuk membuktikan yang dia memang menangkap gambar gadis itu tanpa kebenaran. Kalau tidak masakan dia gelabah sebegitu? Ketara benar tingkahnya. Bahasa badannya sudah menjawab pertanyaan gadis tadi tanpa bibirnya mengakui.

“Siapa benarkan awak ambil gambar saya? Ada saya suruh?” Muka serius yang terpamer beserta tangan yang disilangkan ke dada, sudah cukup untuk menunjukkan yang gadis itu benar-benar marah. Rona wajahnya juga sudah bertukar sedikit merah. Menahan geram mungkin.

“Err…er…tak.” Tergagap-gagap Rayyan menjawab.

“Daripada awak ambil gambar saya, lebih baik awak ambil gambar keindahan alam ciptaan ALLAH ni.” Pandangan ditebarkan ke arah tasik yang hening. Didongakkan kepalanya sedikit memandang langit yang membiru dan awan putih yang sedang berarak secara rawak. Subhana-ALLAH. Indah sekali.

“Banyak yang awak akan dapat nanti. Bukan ke keindahan alam ini tanda penciptaan ALLAH? Fotografi itu boleh melalaikan awak kalau awak menyalahgunakannya, tahu? Rentak suara si gadis sudah sedikit mengendur dan mendatar. Rayyan masih menunduk. Dia hanya mendengar apa yang dikatakan si gadis tanpa menyampuk sedikit pun.

“Fotografi juga boleh membuatkan awak lebih mendekati Sang Pencipta. Manfaatkanlah seni dan bakat yang awak ada untuk kebaikan.”

Setelah mengucapkan kata-kata itu, gadis tadi terus berlalu pergi. Tinggallah Rayyan terkulat-kulat sendirian. Hanya matanya mengiringi langkah si manis gula-gula kapas yang kini sedang beriringan bersama temannya meneruskan larian yang terhenti sebentar tadi.

Satu keluhan berat dilepaskan. Kamera di tangan kanan dipandangnya. Dengan langkah longlai dia bergerak meninggalkan taman rekreasi itu. Dibenaknya berselirat dengan pelbagai benda. Kata-kata si manis gula-gula kapas tadi biarpun lembut terasa bagaikan menusuk ke dasar hatinya.

*****

Rambut yang masih basah dilapkan dengan tuala. Kemudian disangkut tuala itu di palang penyidai. Tubuhnya yang tinggi lampai direbahkan ke atas katil bujang di sudut bilik. Tangan kanan diletakkan di atas dahi. Masih terngiang-ngiang ulas daripada si manis gula-gula kapas tadi. Tanpa sedar dia mengeluh.

Shahir yang memerhatikan tindak-tanduknya sedari tadi mengerut dahi. Mana pernah Rayyan baring waktu-waktu macam ni. Biasanya dia akan menghadap photoshop mengedit gambar atau keluar menangkap panorama malam di sekitar Taman Universiti.

Sejak pulang dari taman rekreasi petang tadi lagi Rayyan berkelakuan pelik. Selalunya senyuman tidak lekang dari bibirnya. Gembira dapat menangkap pelbagai jenis gambar. Tambahan pula dia baru sahaja membeli lensa. Ini tidak. Balik tadi, wajahnya berkerut seribu, teguran Shahir pun tidak dihiraukan. Hanya menjawab acuh tidak acuh sahaja. Kini, dia tersadai di atas katil macam orang sakit. Dahi yang berlapis-lapis itu membayangkan dia sedang memikirkan sesuatu yang serius.

“Siapa benarkan awak ambil gambar saya? Ada saya suruh?”

‘ALLAH. Tak pernah-pernah aku buat kerja gila macam ni. Macam stalker pun ada jugak. Kan dah kena sebijik! Padan muka kau, Rayyan. Candid lagi gambar anak dara orang!’ Kepalanya tergeleng-geleng. Baru sedar yang selama ini tindakannya itu tidak betul.

“Daripada awak ambil gambar saya, lebih baik awak ambil gambar keindahan alam ciptaan ALLAH ni.”

‘Betul jugak kata dia tu. Apa tujuan aku ambil gambar dia sebenarnya ya?’

‘Senyuman awak manis sangat la. Semanis gula-gula kapas!’ Serentak itu Rayyan menepuk-nepuk pipinya sendiri. ‘Haih! Apa ni, Rayyan? Fikir yang bukan-bukan! Tadi muka dah tak tahu nak letak kat mana dah. Malu seh!’

“Banyak yang awak akan dapat nanti. Bukan ke keindahan alam ini tanda penciptaan ALLAH? Fotografi itu boleh melalaikan awak kalau awak menyalahgunakannya, tahu? Fotografi juga boleh membuatkan awak lebih mendekati Sang Pencipta. Manfaatkanlah seni dan bakat yang awak ada untuk kebaikan.”

Rayyan bangkit dari baringnya. Tubuh dihalakan ke komputer riba yang elok tersadai di atas meja belajar miliknya. Folder ‘scenery’ dibuka. Ditelek dan diperhatikan setiap gambar pemandangan yang diambilnya. Folder ‘sweet cotton candy’ pula dibukanya. Dibandingkan gambar-gambar yang terdapat di dalam kedua-dua folder berkenaan.

“Betul la kata dia. Yang ini boleh mendekatkan aku kepada Yang Maha Pencipta. Yang ini pula memang la boleh buat aku lalai. Silap-silap boleh angau tengok si manis gula-gula kapas ni. Astaghfirullah hal ‘azim.”

Otaknya ligat berfikir. Aktiviti lain boleh pula dia kaitkan dengan agama. Kenapa tidak fotografi? Selama ini hal seremeh pakaian sukan pun dia jaga. Dulu dia juga yang kata fotografi ni bukan seni yang melalaikan. Tapi sekarang, dia sendiri yang terlalai.

Kata-kata terakhir si gadis sebelum meninggalkannya petang tadi menerbitkan satu tekad baru dalam diri Rayyan. Dia mahu memanfaatkan sebaiknya seni dan bakat fotografi yang dimilikinya. Ya, perubahan perlu dilakukan!

Sejak itu, Rayyan banyak mengambil gambar keindahan alam. Setiap kali gambar yang selesai diedit, sebelum diupload ke dalam Flickr atau blog pasti akan disertakan sekali dengan ayat-ayat Al-Quran, quote atau kata-kata hikmah. Dia juga tidak lagi mengambil gambar anak dara orang tanpa mendapatkan keizinan empunya badan terlebih dahulu. Sudah serik. Cukuplah sekali dia tertangkap. Terkantoi.

*****

“Wah! Cantiknya gambar yang kau snap ni Rayyan! Kena pulak tu dengan quote yang kau letak ni.” Shahir yang kebetulan melintasi meja belajar Rayyan menghentikan langkahnya. Diamati gambar matahari yang masih malu-malu memunculkan diri di celah-celah bukit itu. ‘It’s the same bright sun shines on everyone.’ Itulah quote yang disertakan bersama gambar itu.

“Betul. Kita ni menerima pancaran mentari yang sama.” Shahir bersuara sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Kau suka ke gambar ni? Nanti aku cuci, aku bagi kat kau eh.” Rayyan tersenyum senang. Memang ramai memuji gambar-gambar yang ditangkapnya cantik. Malah ada yang ingin membeli hasil kerjanya itu.

“Betul ke? Terima kasih.” Suara Shahir sedikit meninggi. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

“Yup. Takde apa la. Kau kan kawan aku.”

“Ha. Sebelum aku terlupa, ini duit gambar kau. Nazrin bagi tadi. Tengok la.” Sampul surat berisi sejumlah wang diserahkan kepada Rayyan. Nampaknya kawannya ini sudah boleh membuat business dengan menjual foto-fotonya. Ramai sungguh yang memesan.

“Jadi ke kau nak pamerkan foto-foto kau ni?”

“Jadi. Insya-ALLAH. Aku dah hantar dah gambar-gambar untuk dipamerkan nanti.”

Seorang pemilik galeri menawarkan untuk mempamerkan hasil kerjanya. Pemilik galeri itu benar-benar tertarik dengan gambar-gambar yang diuploadnya di Flickr dan blog. Rupanya dia sudah lama mengikuti perkembangan Rayyan dan merasakan bakat yang dimiliki anak muda itu perlu disebarluaskan. Semoga foto-foto itu mampu memberikan impak kepada orang ramai kelak.

*****

“Manfaatkanlah seni dan bakat yang awak ada untuk kebaikan.”

Kata-kata itu masih tersemat kukuh di mindanya. Hari ini dia sudah membuktikan yang seni fotografi ini bukan seni yang melalaikan. Foto-fotonya sudah tersebar meluas. Dia merupakan contoh photographer yang mampu menyentuh hati para pencipta seni dengan sekeping foto. Setiap gambar yang disertakan sebaris dua ayat itu mampu membuka mata sesiapa sahaja yang melihatnya. Dia perlu berterima kasih kepada insan yang berjaya membuka matanya; si manis gula-gula kapas!

Langkah kaki diatur kemas menghala ke sebuah pondok di tepi tasik. Dia memang tahu si manis gula-gula kapas selalu ke situ. Pernah menjadi stalker la katakan. Tepat tekaannya. Kelihatannya si dia sedang khusyuk membaca majalah Solusi.

“Assalamu’alaikum.” Setibanya di hadapan pondok, dia memberikan salam.

Si dia yang tadinya menunduk, mendongakkan kepala. Salam berbalas. Majalah di tangan ditutup dan diletak ke sisi.

“Saya datang ni nak ucapkan terima kasih. Terima kasih sebab dah berjaya sedarkan saya tentang fotografi. Dan ini softcopy dan hardcopy foto-foto awak yang saya ambil dulu. Semua ni hak awak.” Dihulurkan sampul putih berisi gambar-gambar si manis gula-gula kapas dalam bentuk softcopy dan hardcopy.

Huluran bersambut. Terukir senyuman dibibir si dia. Sampul dibuka lalu isinya dikeluarkan. Terserlah sekeping USB 8.0 GB dan sebuah album. Satu album itu penuh dengan gambar candid si gadis.

“Err…” Rayyan serba-salah. Hendak dipanggil nama, dia tidak tahu si manis gula-gula apa namanya.

“Filzah.” Akhirnya si dia bersuara. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.

“Oh. Filzah. Terima kasih banyak-banyak sebab dah sedarkan saya. Dan minta maaf. Err..Sebab ambil gambar awak sesuka hati je.”

“Saya tak membantu apa pun sebenarnya. Berterima kasihlah pada Yang Maha Pencipta. DIA yang telah menyedarkan awak. Fasal hal tu, saya dah lama maafkan awak. Dan minta maaf juga sebab dah tertinggikan suara pada awak dulu.”

“Eh, tak perlu minta maaf. Memang patut pun awak marah. Kalau dah macam tu, saya gerak dulu la.” Rayyan sudah berura-ura untuk beredar.

“Nanti dulu! Err…” Belum sempat dia melangkahkan kakinya kedengaran Filzah memanggil.

“Rayyan.” Baru sekarang nak perkenalkan diri. Kening diangkatkan sedikit sebagai tanda bertanya kenapa Filzah memanggilnya tadi.

“Awak dah takde simpan gambar saya dah kan?” Filzah bertanya sambil mengunjukkan sampul surat pemberian Rayyan tadi.

Rayyan hanya tersenyum sambil mengerdipkan matanya sekali. Kemudian dia berlalu pergi meninggalkan Filzah di pondok mengamati maksud senyuman dan kerdipan matanya.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah ENGKAU menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci ENGKAU, lindungilah kami dari azab neraka.” –Ali-Imran,3:190-191-

3 comments:

cik n.haliban said...

nak komen aih~ :P
alhamdulillah. cerpen yang lain dari yang lain jugak. bagus sebab masukkan Islamik punye value. i love that! OK. teruskan lagi yek. x sabar nak bc versi e-novel. hehehe...

Nadzipah said...

terima kasih.
banyak jasa cik haliban pada SMGK ni sebenarnya. TQVM!
harap-harapnya mesej yang ingin disampaikan sampai la kepada pembaca. huhu.
draf yang saya buat semuanya hilang bila Suhayl saya ni sakit. huhu. maybe saya akan gunakan cuti nanti untuk buat SMGK2. Insya-ALLAH.

err..e-novel tu tak pasti la. huhu..

nor aisyah said...

assalam akak nadzipah . nak tanya kenapa sy takleh baca cerpen akak yg bertajuk : SI MANIS GULA-GULA KAPAS(RAYYAN) . harap balas