Tuesday, March 20, 2012

Penantian Itu Suatu Penyeksaan

Assalamu'alaikum wbt.

Saya pasti semua orang pernah mendengar ungkapan ini, "Penantian itu suatu penyeksaan." Tentu pernah dengar bukan? Mungkin juga kita pun pernah mengucapkannya. Bila menghadapi situasi yang menyebabkan kita terpaksa menunggu sesuatu itu dalam masa yang lama, terus la keluar kata-kata macam tu kan? Lepas tu tak habis-habis nak mengeluh. Hmm..manusia. Lumrah kehidupan.

Saya pun pernah je menghadapi situasi-situasi macam ni. Kejadian 'Penantian itu suatu penyeksaan' yang terbaru baru sahaja berlaku semalam. ALLAH. Sungguh menguji kesabaran. Sungguh menguji kekuatan dan ketabahan. Habis hah keluar macam-macam keluhan. Tak sabar betul saya ni kan? huhu.

Ceritanya begini, semalam saya dan 3 orang lagi kawan pergi ke Suwon Immigration untuk renew Resident Card (RC). Huda dan Nisaa pergi dulu. Dalam pukul 11.30 diaorang dah sampai dah kat sana. Saya pulak pergi lewat sikit sebab ada kelas. Dalam pukul 1 baru sampai sana. Kalau ikutkan pengalaman sebelum ni, memang ramai orang yang nak renew RC time-time macam ni. Saya minta tolong Nisaa ambilkan nombor giliran untuk saya. Fatehah pula minta tolong Huda ambilkan nombor giliran untuk dia. Habis kelas baru la boleh pergi ke sana. Memang kami kena renew RC ni setiap setahun sekali. Terlewat renew sehari dah kena bayar denda 100,000 KRW tau! Tak sanggup aih nak bayar denda banyak tu. huhu.

Waktu mereka sampai dan ambil nombor tu, dalam 200 orang dah selesai urusan. Kami dapat nombor antara 670-674. Kami terpaksa tunggu hampir 400 orang lagi sebelum sampai giliran kami. Mereka pergi makan dan solat Zohor dulu sementara menunggu tu. Waktu saya sampai dalam pukul 1 tu, nombor yang tertera baru 250 gitu. Orang memang ramai. Penuh sesak dengan orang ramai yang pelbagai gelagat dan ragam serta pelbagai warna kulit tu. Tempat duduk memang penuh la. Ramai yang menunggu sambil berdiri je.

Sehingga pukul 4 petang, baru dalam 400 orang yang selesai berurusan. Kami kena tunggu 270 orang lagi untuk sampai giliran kami berurusan. ALLAH. Kami dah berura-ura untuk balik dan datang lagi pada hari yang agak free nanti. Iye la kan. Bukan senang nak datang. Dengan jadual kelas yang padat dan tidak sama antara satu sama lain. Hari ini je pun kelas habis awal sikit dari hari-hari lain.

Bila fikir-fikirkan balik, kami dah tunggu hampir 200 orang dah pun. Ada lagi 200 orang je lagi. Takpe la, tunggu je la. Kalau tadi sanggup tunggu, takkan sekarang dah tak sanggup tunggu kan? Tapi dalam pada dok memotivasikan diri tu, sempat lagi la dok mengeluh. huhu. Bila fikirkan, kalau balik, nanti kena datang lagi dan menghadapi penantian yang panjang macam ni lagi. Macam tak sanggup pula nak hadapi benda yang sama. Nanti akan mengeluh dan merungut lagi. Baik selesaikan hari ini terus. Kesimpulannya kami pun duduk la menunggu di situ dengan kesabaran yang dah makin tipis.

Kepala saya pun dah mula berdenyut-denyut dah. Memang saya kalau berada dalam suasana orang ramai yang penuh sesak lama-lama macam ni memang akan sakit kepala. Memang ALLAH nak uji la semalam. ALLAH nak menguji sejauh mana saya boleh bersabar menanti giliran untuk urusan renew RC tu. Adakah saya akan menunggu dengan penuh kesabaran ataupun saya berkeluh kesah dan tak berhenti merungut. huhu.

Akhirnya setelah hampir 7 jam menunggu, urusan renew RC selesai. Nak tahu tak? Tak sampai 5 minit pun sebenarnya berurusan di kaunter. Yang seksanya nak menunggu sampai giliran kita tu. ALLAHU ALLAH. Siap sempat solat Zohor, Asar dan Maghrib lagi kat Suwon Imigration tu ha. Nak cakap lamanya kami ada kat sana. Tapi kejadian semalam memang memberi kesan yang agak mendalam la dalam diri saya. Rupanya untuk kita mendapatkan sesuatu yang kita ingini itu bukannya mudah. Tidaklah semudah kita mengira 1,2,3 dan bukanlah sesenang kita menyebut A,B,C. Perlukan usaha dan kesabaran yang tidak berbelah bagi.

Penantian itu memang suatu penyeksaan. Betul tu. Saya sudah merasainya. Namun tak terungkap rasanya bahagia dan gembira setelah kita berjaya menghadapinya. Memang semalam kami tak lepas dari mengucapkan kalimah syukur pada ALLAH; Alhamdulillah, sebaik sahaja selesai urusan. Alhamdulillah. Rasa macam nak buat lompat bintang kat tengah-tengah ruang menunggu tu. Gembira tak terkata. :D

Rupanya di sebalik peristiwa semalam, ALLAH mahu mengajar kami erti kesabaran itu. Memang susah untuk bersabar menghadapi sesuatu penantian tanpa sebarang rungutan dan keluhan. Saya akui itu. Tapi insya-ALLAH kita boleh cubakan? Saya pun akan cuba untuk menjadi lebih penyabar lagi pada masa akan datang. Orang lain pun menunggu dengan sabar juga giliran mereka. Ada yang dah pangkat datuk-nenek dah pun yang menunggu semalam. Ada juga yang bawa anak kecil. Tentu mereka lebih diuji dengan kesabaran itu bukan? Dengan kerenah anak yang pelbagai dan sebagainya.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya:
"Semua perkara baik untuk mukmin; jika ditimpa musibah dia sabar, maka itu baik untuknya. Jika beroleh kesenangan dia syukur, maka itu baik untuknya."

Tak semestinya yang baik itu baik untuk kita dan yang buruk itu buruk untuk kita kan?

"...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu,
dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu.
ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
[Al-Baqarah, 2:216]


No comments: