“Ralitnya. Tengok apa tu, sayang?”
Dhirar Ukail menegur wanita yang sedang tunak memandang ke satu arah itu. Dia
meletakkan dagu di bahu isterinya sambil memandang ke arah yang sama. Mahu
melihat apakah yang menarik minat pandangan mata bundar wanita kesayangannya
itu. Sampaikan dia yang ada di sebelah sejak tadi pun tidak dihiraukan.
Merajuklah kalau macam ni!
“Bahagianya mak dan abah. Harapnya
kita pun bahagia seperti mereka. Insya-ALLAH.” Nusaibah Khunaisa masih lagi
memandang ke arah ibu dan bapa mentuanya yang sedang duduk berehat menikmati
angin pantai di bawah pohon rhu tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Bahagia
sungguh mereka. Siap makan bersuap lagi. Kalah mereka yang baharu lima bulan
berkahwin ini!
Ditoleh ke kanan. Mata bundarnya
bersabung pandang dengan mata bening suaminya. Dapat dilihat mata bening itu
bersinar galak seolah-olah mata itu sedang tersenyum kepadanya. Lama mereka
begitu sebelum dia mengalihkan pandangannya ke hadapan kembali. Pipinya merona
kemerah-merahan. Masih lagi malu dengan suami sendiri walaupun sebulan sahaja
lagi perkahwinan mereka akan mencecah usia setengah tahun.
Memang masih baharu lagi usia
perkahwinan mereka. Masih banyak lagi yang belum diketahui mengenai diri
masing-masing. Setiap hari ada sahaja perkara baharu yang mereka terokai
daripada pasangan masing-masing. Indah sungguh rasanya bercinta apabila sudah
halal begini. Kehangatannya terasa setiap ketika.
“Insya-ALLAH. Mudah-mudahan bahagia
milik kita walaupun badai dan ujian melanda rumah tangga kita nanti.” Dhirar menggenggam
tangan isterinya erat. Tanda dia bersungguh dan memaknakan apa yang
diperkatakannya.
Mereka sama-sama memandang pasangan
berusia emas yang kini sedang berbual mesra sambil makan bersuapan di bawah
pokok rhu sana. Tidak mudah untuk mak dan abahnya mengecap kebahagiaan yang
mereka sedang lihat saat ini. Dhirar tahu itu. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH
dua hati kembali bersatu menjadi satu rasa yang indah membahagiakan. Dia
bahagia melihat insan-insan kesayangannya bahagia. Bahagia mereka, bahagialah
dirinya.
Nusaibah tunduk mengambil ranting
kayu kemudian melakarkan sesuatu di atas pasir pantai yang lembut dan lembap
itu. Dhirar ikut mencangkung di sebelah isterinya. Matanya melirik setiap
tarian jari-jemari halus Nusaibah. Bibirnya terpalit senyuman yang menawan saat
membaca coretan isterinya.
‘Dua hati satu rasa.’
Itulah yang ditulis Nusaibah.
Kemudian dilakarnya pula bentuk hati besar mengelilingi kata-kata tersebut.
Eh! Macam sama pula apa yang dia
fikirkan tadi dengan coretan isterinya. Sungguhlah mereka punyai keterikatan
hati yang kuat. Ada chemistry, kalau
mengikut kata orang sekarang. Tangannya secara reflek memeluk bahu wanita
kesayangannya itu. Sebelah lagi tangannya yang lepas bebas mencubit pipi kanan
isterinya.
“Sakitlah…Abang ni…”
Terkial-kial Nusaibah mahu melepaskan tangan
kasar Dhirar dari terus melekat di pipinya. Sebaik sahaja berjaya melepaskan
diri, terus digosok-gosoknya pipi yang dicubit tadi. Pasti sudah memerah.
Terhenti gerak jemari kirinya yang sedang melakar bentuk hati tadi.
“Sorry,
sayang.” Dhirar tayang sengih bersalah. Tangan kirinya turut sama menggosok
pipi isterinya yang sudah mula memerah akibat cubitannya tadi. Alahai…kuat
sangat ke dia cubit tadi? Sampai berbekas merah pipi isterinya. Maaf, isteriku.
Suamimu ini tidak sengaja. Siapa suruh comel sangat? Hehe. Dahlah apa yang kita
rasa dan fikirkan sama. Itu yang teruja sangat tadi tu! Dhirar tersengih nakal.
Ditariknya perlahan ranting kecil dari
genggaman si isteri. Dia menyambung kembali lakaran isterinya yang terhenti
tadi. Kemudian ditulis sesuatu di bawah bentuk hati itu.
Nusaibah hanya membiarkan suaminya
menyempurnakan bentuk hati yang dilukisnya tadi. Bulat matanya saat memandang
ayat yang ditulis suaminya di bawah lukisan bentuk hati itu.
“Abang sayang Ai. Fillah.” Dhirar berbisik lembut bait kata yang dicoretnya itu di
telinga isterinya.
Berkaca-kaca mata bundar itu saat mendengar
lafaz kata suaminya. Bukan senang mahu mendengar suaminya ini melafazkan kata
cinta sebegitu. Bagi Dhirar, cukuplah sekali-sekala sahaja dia mengungkapkannya. Basi pula jadinya nanti jika sering kali diucapkan. Dia lebih
suka menterjemahkan segala rasa sayang, kasih dan cintanya melalui perbuatan
dan bahasa tubuh. Bukankah perbuatan itu berbicara lebih pantas daripada
perkataan?
“Saranghaeyo.
Fillah. Nampyeon.” Nusaibah menyebut satu-persatu kata-kata keramat itu
secara berbisik juga. Cukup hanya untuk pendengaran suaminya sahaja.
Amboi! Isterinya ini, tahulah dulu belajar di
bumi Sonata. Nasib baik suami sayang ini sudah belajar sedikit bahasa Korea,
tahu! Dapatlah faham apa yang diucapkan oleh isterinya yang manis ini. Tanpa
dapat ditahan bibir Dhirar mengoyakkan senyuman. Masing-masing tersenyum
bahagia.
Dua hati satu rasa,
Berpadu dua jiwa,
Membina mahligai cinta,
Mengharapkan keredhaan-NYA.
(Glosari : Fillah : Kerana ALLAH,
Saranghaeyo (사랑해요) : I love you,
Nampyeon (남편) : Husband )
Nota : Ini coretan saya pada note phone dua malam yang lepas saat tidak dapat melelapkan mata. Ini hanya sekadar cebisan daripada seluruh kisah yang berlegar-legar di ruang minda. Selebihnya masih belum diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan.
Apa komen anda yang membaca tentang coretan ini? Harap dapat dikongsikan bersama. Thanks in advance. :')
3 comments:
Baru jejak blog ni. Wah suka baca cerita-cerita dekat sini. Banyak input boleh dapat. Sweet pulak tu. Teruskan berkarya. :D
Terima kasih kerana sudi menjenguk blog picisan saya ini, Afiqah. :')
Insya-ALLAH. Doakan saya ye.
sambung sampai habis, baru sy komen~ heeee....
Post a Comment