Aiman masih lagi tercongok menghadap
komputer ribanya saat gril pintu rumah dibuka dari luar. Salam yang dilaungkan
oleh si pembuka pintu hanya dijawab perlahan, sekadar untuk pendengaran dirinya
sahaja.
“Awal balik?” Sedikit berkerut dahinya.
Pelik. Baru pukul enam, si Syakir ni dah sampai rumah.
“Aku dari site. Terus balik la. Dah malas nak pergi ofis.” Terus dibaringkan
tubuhnya di atas sofa berangkai tiga. Mata dipejamkan dengan lengan kanannya
disanggah atas dahi. Letih benar gayanya.
“Oh.”
Dia tidak berniat mahu meneruskan
perbualan. Dikemasnya meja yang
berselerakan dengan segala jenis kertas dan dokumen itu. Sebenarnya dia baru
sahaja pulang dari Melaka. Pagi tadi ada meeting
di sana. Tengah hari baru dia bertolak balik. Dalam perjalanan pulang dapat
pula panggilan dari pengurus di kilang. Ada masalah di production line. Terus dia berkejar ke kilang. Gedebak-gedebuk di
sana sudah pukul lima dua puluh lima. Niatnya untuk masuk ke ofis terus
terbantut. Baju pun sudah lencun dengan peluh gara-gara bertungkus-lumus
menyelesaikan masalah mesin tadi.
“Man, dah Asar belum?” Syakir sudah
bingkas dari baringnya. Dia meraup mukanya. Mungkin tadi terlelap seketika.
“Huh? Belum.” Boleh pula dia mengulang
tayang aktivitinya sepanjang hari ini. Haih!
“Belum?” Jam di tangan kiri dikerlingnya
sekilas. Dipandang wajah Aiman yang sengih serba salah di hadapannya.
“Ha.”
“Jemaah jom. Aku pun belum Asar lagi
ni.” Diangkat tubuh dari sofa. Terus dilarikan langkah kaki ke arah biliknya.
Dia mahu mandi dan mengambil wuduk.
Aiman hanya memandang Syakir yang sudah
melepasi pintu bilik. Kertas-kertas yang dikemasnya tadi dimasukkan ke dalam briefcase. Laptop diletakkan dalam mode
sleep. Berhajat mahu
menyambung kembali kerjanya selepas ini. Dia
menepuk kepalanya beberapa kali. Boleh pula tak solat Asar terus tadi. Walhal
dari kilang lagi dia sudah mengingatkan dirinya untuk solat Asar terlebih
dahulu sebelum membuat kerja. Bilik air dituju. Pili air dibuka untuk mengambil
wuduk.
Saat dia memasuki ruang bilik yang
dikhaskan untuk solat, dua sejadah sudah elok terhampar. Syakir yang sedang
mengaji Al-Quran menghentikan bacaannya.
“Solat yuk.” Terus mereka mengambil
posisi masing-masing. Syakir di sebelah kiri dan dia di sebelah kanan. Takbir
dilaungkan. Dua hati sedang menghadap Ilahi sambil mengharapkan keredhaan
dari-NYA.
“Memancing? Bila tu?”
Aiman
sekadar mengerling Syakir yang sudah berdiri menjauhinya. Menjawab panggilan
telefon yang diterimanya saat mereka sedang menonton berita jam lapan.
Mesti
dengan geng lepak dia la tu. Geng lepak - gelaran Aiman untuk kawan-kawan
Syakir. Boleh dikatakan hampir setiap minggu pasti Syakir akan keluar melepak
dengan mereka. Ada sahaja aktiviti menarik yang mereka akan lakukan bersama.
Kali ini entah apa pula rancangan mereka.
Adakalanya dia juga akan turut ikut serta bersama lepak-lepak
dengan mereka itu. Namun bagi Aiman, lepak-lepak mereka itu bukanlah
seperti kebiasaan yang dia selalu lakukan. Terasa kelainannya. Lepak yang
bermanfaat dia kira. Padanlah Syakir itu berperawakan baik. Itulah yang dapat Aiman simpulkan
saat pertama kali menyertai mereka melepak di rumah salah seorang rakan Syakir
dahulu.
Segan dia dibuatnya ketika itu. Mana tidaknya, rakan-rakan lepak Syakir itu
melayan dirinya seolah-olah mereka sudah lama mengenalinya. Lepak-lepak mereka
juga tidak diisi dengan perbualan yang sia-sia. Penuh dengan peringatan dan
hal-hal semasa yang mampu membuka mata sesiapa sahaja yang mendengarnya. Apa
yang makin membuatkan Aiman bertambah segan, rakan-rakan Syakir
tidak pernah memandang jelek pada dirinya yang biasa-biasa sahaja ini.
Solatnya
walau cukup lima waktu, namun terkadang terbabas juga. Solat di awal waktu jauh
sekali. Baca Yasin setiap malam Jumaat pun kalau rajin. Namun sejak hampir
setahun tinggal
menyewa bersama Syakir di Apartment Damai ini, sikapnya mula berubah sedikit demi
sedikit.
Mula-mula
dulu dia agak menyampah juga dengan Syakir ini. Apa tidaknya, setiap
hari pintu biliknya akan berbunyi pada pukul enam pagi. Bunyi ketukan
berselang-seli dengan suara Syakir memanggil namanya. Selagi dia tidak membuka
pintu bilik, selagi itulah pintu biliknya diketuk. Apabila dia membuka pintu
bilik, figura
Syakir yang sudah siap berbaju melayu dan bersongkok itu terpampang jelas di
ruang matanya. Siap tunggu dia ambil wuduk lagi! Hu hu.
Merasalah
dia solat Subuh berjemaah sejak tinggal serumah dengan Syakir ni. Solat Isyak juga pasti akan berjemaah. Bagus
juga tu. Banyak pahala aku. Bisik Aiman sendiri. Sememangnya
kini istilah Subuh gajah sudah tiada dalam kamus hidupnya. Bahkan dia
sudah tidak perlu dikejut oleh Syakir lagi sekarang. Jam biologinya pasti akan
mengejutkannya tepat pada pukul enam pagi. Tanpa sedar bibirnya membuahkan
senyum.
“Man.”
Lamunan Aiman
terhenti apabila bahunya dicuit Syakir.
“Ha.” Aiman
membetulkan duduknya. Keningnya diangkat sedikit memandang Syakir.
Syakir tayang
sengih. “Jom join kita orang
memancing weekend ni.”
“Menarik tu. Nak
memancing di mana?”
Bersinar mata Aiman mendengar ajakan temannya itu.
Memancing sememangnya menjadi kegemarannya sejak dulu lagi. Pastinya tidak akan
ditolak ajakan ini.
“Pulau Angsa.”
“On.”
Mereka berkumpul pada pukul 9.30 malam di Medan Ikan
Bakar Jeram sebelum menuju ke Pangkalan Jeram yang hanya terletak bersebelahan
dengan Medan Ikan Bakar. Kesemuanya sudah bersiap sedia dengan kelengkapan
memancing masing-masing berserta dengan sedikit bekalan makanan.
Sufian telahpun menyewa sebuah bot di Pangkalan Jeram
untuk menuju ke Pulau Angsa. Setelah menempuhi perjalanan selama 30 minit,
mereka tiba di lokasi memancing. Masing-masing mengambil tempat dan memulakan
aktiviti memancing.
Sudah lebih sejam berlalu namun jorannya masih kaku. Aiman
yang sedang duduk menunggu umpannya mengena memandang sekeliling untuk
menghilangkan bosan. Ada yang sedang sibuk bertarung untuk menaikkan hasil
tangkapan, ada yang masih sabar menunggu umpannya dimakan sambil mulut
terkumat-kamit (apa yang dibaca pun Aiman tidak tahu. Jampi mentera mungkin) dan apa yang paling menarik perhatiannya adalah saat melihat
sebilangan besar mereka khusyuk membaca sesuatu. Syakir yang duduk tidak jauh
darinya juga begitu. Kelihatannya kecil sahaja buku yang mereka pegang itu.
Lambat-lambat dia bangun mendekati Syakir. Mahu
mengetahui apa yang sedang khusyuk dibaca oleh teman serumahnya itu. Semakin
dia mendekat, semakin jelas kedengaran alunan perlahan ayat-ayat suci Al-Quran
dari celah bibir Syakir. Dibaca dengan sangat perlahan seolah-olah berbisik
tetapi penuh tartilnya. Berkerut dahi Aiman melihatnya. Menyedari kehadiran
Aiman, Syakir menyudahkan bacaannya dan menutup Al-Quran kecilnya itu lalu
diletakkan di sisi.
“Man, dah dapat ikan?”
“Belum. Itu yang bosan tu. Mata pun dah makin layu.”
Aiman melabuhkan duduknya di sebelah Syakir. Dipandangnya tunak ke arah kitab
kecil yang baru sahaja Syakir letakkan tadi.
“Aku pun. Nak hilangkan bosan, aku bacalah Quran.
Mengantuk pun hilang.” Syakir tersenyum memandang Aiman di sisinya.
Sinaran
bulan yang terang di dada langit dan pancaran lampu kalimantang bot membantu
dia dan yang lain melihat dengan jelas setiap baris ayat-ayat cinta itu.
“Oho. Bukan kau seorang saja yang aku tengok buat
macam tu. Hampir kesemua geng lepak kau buat macam tu. Bagus juga buat begitu.”
Aiman memuncungkan sedikit bibirnya kepada rakan-rakan Syakir yang lain.
“Tak mahu buang masa, Man. Lagipun, waktu beginilah
ada masa untuk baca Quran ni. Top up
balik bacaan yang tertinggal waktu hari bekerja tu. Tahu sajalah kan, kerja…”
Syakir meleretkan suaranya. Terangguk-angguk Aiman di sebelahnya bersetuju
dengan pandangan Syakir itu.
“Betul juga tu. Eh, aku dahagalah. Nak pergi bancuh
air. Nak?”
“Boleh juga. Thanks,
Man.” Melebar senyuman Syakir.
Aiman bangun dari duduknya sambil mengibas-ngibas
seluarnya membuang habuk yang melekat di seluar. Sebelum masuk ke perut bot,
dia memeriksa dahulu jorannya. Ingin melihat kalau-kalau umpan sudah mengena.
Hampa. Nampaknya belum rezekinya lagi untuk menaikkan hasil tangkapan.
Masuk ke dalam perut bot, matanya menangkap kelibat Sufian
sedang solat di suatu sudut bot. Rasanya tadi sebaik sahaja sampai, Sufian
memberitahu mahu tidur sekejap. Nampaknya dia sudah bangun dan sekarang ini
sedang mendirikan solat. Tidak mahu melengahkan masa, Aiman terus membancuh
air. Selesai sahaja dia membancuh Horlicks panas itu, satu suara menegurnya.
“Aiman, dah dapat ikan ke?”
Dia berpaling ke arah suara yang bertanya sambil
memegang kole air. “Belum lagi, Pian. Tak ada rezeki lagi nampaknya.” Dia
tersenyum hampa.
“Takpe, Man. Nanti-nanti ada la tu. Insya-ALLAH.”
Sufian menepuk-nepuk bahu Aiman menyalurkan sedikit semangat.
“Harapnya macam tu la. Eh, kau solat apa? Bukan dah
solat Isyak ke tadi?” Aiman bertanya pelik. Tidak mahu berteka-teki lagi. Baik tanya terus pada empunya badan.
“Oh. Aku solat sunat. Bukan selalu berpeluang nak buat
macam ni, Man…Sibuk je memanjang. Dah ada peluang ni, buatlah…” Sufian bersuara
menjelaskan.
“Oho. Tadi pun Akir cakap lebih kurang macam tu juga.”
Apa yang dia maksudkan adalah perihal peluang yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh
rakannya itu untuk membaca Al-Quran pada masa terluang sebegini.
“Begitulah, Man. Manfaatkan peluang yang ada
sebaiknya. Hari minggu, memang agak susahlah mahu meluangkan banyak masa untuk
buat begini. Waktu hujung minggu beginilah yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya.
Jumpa kawan pun dapat. Beramal pun dapat.” Sufian mengiyakan kata-kata Aiman.
Hari-hari lain sudah disibukkan dengan pelbagai urusan dunia. Jadinya
diperuntukkan sedikit waktu pada hujung minggu sebegini bagi memenuhi tuntutan
urusan akhirat pula.
Aiman yang mendengar terkesima seketika. Terselit
kesedaran dalam dirinya. Betapa mereka ini sentiasa berusaha untuk memperbaiki
diri dan menampal compang-camping amal yang kurang dalam diri masing-masing. Pantang ada masa
terluang dan ruang kosong, pasti akan mereka isi dengan sesuatu yang
bermanfaat. Terasa lagi kelainan dalam diri. Mengikut mereka memancing kali ini
tidak seperti dia menyertai aktiviti memancing yang selalunya hanya dipenuhi
dengan borak-borak kosong semata. Sungguh berbeza.
“Lamanya bancuh air, Man.” Gurau Syakir yang baru
sahaja memasuki perut bot. Tangannya memegang sebuah baldi. Diunjukkan baldi
itu kepada Aiman.
“Aku tolong naikkan tangkapan kau. Sorry, tak panggil kau. Takut terlepas
pula ikan tu nanti.” Syakir tayang sengih bersalah.
“No worries.”
Apalah sangat nilai menaikkan seekor ikan itu jika hendak dibandingkan dengan
suatu kesedaran yang dia dapat pada malam ini. Sungguh, dia benar-benar
bersyukur. Dia ditakdirkan ALLAH serumah dengan Syakir dan melalui temannya itu
dia berjumpa pula dengan sahabat-sahabat Syakir yang lain. Dari mereka ini dia
tersuntik kesedaran, tersentuh hatinya untuk lebih mendekati Ilahi. Itu lebih
berharga daripada segalanya.
“Kau masuk nak solat malam ke? Nak join sekali.”
“Ha’ah. Jomlah. Aku tunggu.” Syakir
tersenyum senang. Sufian juga tayang senyum melebar. Mereka sama-sama
memanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Pencipta. Hanya DIA Yang Maha Berkuasa,
yang mampu menyentuh dan melembutkan hati-hati yang DIA kehendaki.
“Thanks.” Dia ikhlas mengucapkan enam
huruf itu. Tanda menghargai nasihat dan keberadaan Syakir di sisinya selama ini. Kerana Syakir
dia berubah menjadi lebih baik. Kerana Syakir, Aiman yang dulunya biasa-biasa
sahaja menjadi Aiman yang baharu. Aiman yang sudah tidak lagi memandang solat itu
enteng. Aiman yang hidupnya bukan untuk dunia sahaja. Aiman yang menjadi akhirat itu lebih utama.
Sentuhan hati seorang sahabat yang mampu mengubah hati
seorang Aiman berubah 180 darjah. Syakir yang
tidak pernah memandang jelek dan sentiasa membimbingnya itu telah membuka mata
hatinya untuk berubah menjadi lebih baik. Setiap kata-kata dan perbuatan Syakir
memang tidak pernah membuatkan dia terasa sakit hati. Malah segala tingkah laku
itu umpama air sejuk yang mengalir ke rengkung di hari yang panas. Sejuk.
Nyaman. Menyegarkan. Menenangkan.
Benarlah
kata orang, perbuatan yang baik itu mampu menyentuh hati-hati yang keras.
Peribadi yang bagus mampu mencairkan hati yang beku. Akhlak yang mulia itu
mampu menghidupkan hati yang mati. Kudusnya hati Syakir mampu
menyentuh hati seorang Aiman.
Aiman
berjanji pada dirinya yang dia akan berusaha untuk menjadi lebih baik lagi
daripada hari ini. Dia mahu menjadi seperti Syakir. Dia mahu mencontohi akhlak
dan peribadi junjungan besar Muhammad bin Abdullah. Itu tekadnya. Dia tidak mahu mensia-siakan
peluang yang ALLAH berikan kepadanya ini.
Dia
akui, untuk menjadi baik itu memang mudah. Namun, untuk terus kekal menjadi
baik itu tidak mudah. Walau bagaimanapun, dia akan terus berusaha memperbaiki
dan memantapkan diri. Kerana hati seorang Aiman ini sudah tersentuh hatinya.
Hati seorang Aiman ini sudah disentuh oleh keindahan dan kecantikan akhlak
seorang teman. Sentuhan keperibadian seorang sahabat yang membawa hati seorang
Aiman semakin mengenali Rabbul Izzati. Sesungguhnya hati seorang Aiman ini makin
mendekati Sang Penciptanya.
Kemudian, sesungguhnya
Tuhanmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana
kejahilannyannya, kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan memperbaiki
(dirinya), sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang.
[An-Nahl, 16
: 119]
4 comments:
beruntung Aiman ada sahabat macam Syakir. :')Moga dapat juga kenalan seperti mereka.
Beruntung kan?
Insya-ALLAH. Moga ALLAH kurniakan kita semua sahabat sebaik Syakir. :')
bagus nye cerpen2 awak. cemburu saya. huhu...rasa mcm cerita sy sekarang ni makin mengarut pulak. :(
Mana ada gitu cik Haliban. Cerita-cerita awak semua pun ada mesejnya yang tersendiri.
Teruskan menulis dan berkongsi rasa ya cik Haliban. :")
Post a Comment