Tuesday, June 18, 2013

The Drama King - A Metaphor (Sesi Tadabbur Saya)

Assalamu'alaikum wbt. 

Alhamdulillah. Selesai paper yang ketiga awal pagi tadi. Balik bilik, room-mate suruh tengok filem pendek karya terbaharu Madmie; The Drama King - A Metaphor

Subhana-ALLAH! Awesomeness! 

Memang tidak dapat dinafikan, setiap hasil sentuhan tangan Ahmad Zulhilmi Sobri tidak pernah mengecewakan. Variasi ibrah memang terselit pada setiap filem pendeknya.

Saya mahu berkongsi sedikit daripada tadabbur yang saya buat setelah menonton filem pendek ini. Kita buat ala-ala bedah filem la eh. :P

*****
Sebelum tu, saya nak bagi sinopsis filem pendek ni dulu. 

Watak utama 'The Drama King - A Metaphor' ini adalah Muhaimin. Babak pertama filem pendek ini memaparkan kisah Muhaimin yang telah kehilangan duitnya. Kawan-kawan sekeliling yang mendapat tahu mengenai kisah kehilangan duit Muhaimin ini berkumpullah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh Muhaimin. Akhirnya seorang kawan Muhaimin ini jumpa balik duit Muhaimin tu. 

Babak seterusnya, memaparkan betapa gembira dan terujanya kawan Muhaimin mengkhabarkan berita gembira kepada Muhaimin. Katanya dia dapat menerbangkan helikopter, terbang tinggi lagi. Punyalah dia bersungguh-sungguh suruh Muhaimin datang. Muhaimin pula macam tak berapa nak percaya dengan pernyataan kawannya tadi. 

Tunggu punya tunggu, memang Muhaimin tidak datang. Kawan Muhaimin ini pergi lagi memanggil Muhaimin. Tidak berputus asa sungguh kawan Muhaimin ini mahu memperlihatkan kejayaannya menerbangkan helikopter. 

Teman di bilik sebelah yang mendengar perbualan antara Muhaimin dan kawannya ini telah masuk ke bilik Muhaimin dan bertanyakan apa yang berlaku. Namun sayangnya, dia telah dimarahi oleh Muhaimin dengan kata-kata yang agak kasar kerana katanya temannya itu telah menceroboh masuk biliknya tanpa izin. 

Al-kisahnya, Muhaimin amat bertuah kerana telah dihadiahkan sebuah helikopter yang digelar Helikoptina oleh pak ciknya. Pak cik Muhaimin ni tak bagi helikopter yang dah dipasang siap tau. Pak ciknya suruh Muhaimin pasang sendiri Helikoptina ni. Maka bersengkang matalah Muhaimin memasang Helikoptina dan berusaha untuk menerbangkannya. Akhirnya, segala penat lelah Muhaimin berhasil. Dia dapat menerbangkan Helikoptina dengan jayanya! Yeay!

Sungguh malang itu tidak berbau, Helikoptina menghadapi sedikit masalah. Lalu jatuh terhempas dan tidak dapat diterbangkan lagi. Muhaimin bawa balik, cuba betulkan dan baiki apa yang patut. Namun Helikoptina tidak dapat juga diterbangkan. Muhaimin yang telah berputus asa ini memutuskan untuk membuang sahaja Helikoptina yang sudah tidak dapat terbang lagi itu. 

Kawan Muhaimin yang menjumpai Helikoptina di dalam tong sampah telah mengambil Helikoptina dan berusaha untuk membaiki semula Helikoptina. Alhamdulillah, segala usahanya berhasil apabila Helikoptina dapat diterbangkan. Dikhabarkan kepada Muhaimin dan kawan-kawan yang lain akan kejayaannya itu. Malangnya Muhaimin tidak percaya. Tinggallah dia keseorangan di bilik manakala yang lain berseronok bermain dengan Helikoptina. 

*****
'The Drama King - A Metaphor' ini kisah yang penuh simbolik. 

Mengikut tuan si pembuat filem pendek ini, dia memetaforakan filemnya seperti ini:

Watak Muhaimin diibaratkan seperti Bani Israel.

Pak cik Muhaimin itu dimetaforakan sebagai ALLAH yang memberikan nikmat Islam dan hidayah kepada Bani Israel. 

Helikoptina pula adalah Islam.

Kawan Muhaimin digambarkan sebagai khalifah. Golongan penegak agama Islam. Golongan yang menjunjung Islam, mengamalkannya di dalam kehidupan. 

Kejayaan menerbangkan Helikoptina disimbolikkan sebagai Islam dapat ditegakkan di muka bumi. Menjadi ustaziatul alam. 

*****

Pada saya, 'The Drama King - A metaphor' merupakan sebuah filem pendek yang penuh metafora dan simboliknya. Kisah yang perlu kita akui kebenarannya. Bahkan kisah pengkhianatan dan kemurkaan ALLAH kepada Bani Israel banyak tercatat di dalam kitab suci Al-Quran. Lihatlah dalam surah al-Baqarah, kisah pertikaian Bani Israel dalam melaksanakan perintah ALLAH apabila disuruh menyembelih seekor lembu. 

Di dalam surah yang sama juga, ALLAH menceritakan bagaimana keadaan Bani Israel yang telah diselamatkan oleh Nabi Musa daripada Firaun kemudiannya kembali kufur. Oh. Sebelum itu, mereka ini terlebih mengada-ngada. Meminta macam-macam dengan Nabi Musa. Nak makan itulah. Inilah. Padahal ALLAH sudah pun memberikan mereka 'mann' dan 'salwa'. Sungguh mereka ini tidak bersyukur. 

[Boleh rujuk surah Al-Baqarah ayat 49-74]

Banyak lagi dikisahkan di dalam al-Quran. Surah Hud misalnya yang mengisahkan bagaimana ALLAH menyeksa setiap kaum daripada Nabi yang berbeza. 
1. Kaum Nabi Nuh - ALLAH timpakan dengan banjir besar. 
2. Kaum 'Ad (Nabi Hud) - Diazab dan dibinasakan. 
3. Kaum Samud (Nabi Saleh) dan kaum Nabi Syu'aib - Ditimpa suara guntur hingga menyebabkan mereka mati bergelimpangan. 
4. Kaum Nabi Lut - Dihujani batu dari tanah yang dibakar. 

Kerana apa? Kerana mereka kufur. Tidak mahu beriman kepada ALLAH. Mereka tidak mahu mengakui perintah ALLAH dan suruhan para utusan ALLAH. 

Disebabkan Bani Israel yang ALLAH telah memberikan peluang berkali-kali kepada mereka namun mereka telah mempersiakannya ini, ALLAH telah memberikan nikmat iman dan Islam itu kepada kaum Arab. Boleh rujuk surah Muhammad ayat yang ke-38 berkenaan hal ini. 

"...Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar), 
DIA akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, 
dan mereka tidak akan (derhaka) seperti kamu."
 [Muhammad, 47:38]

Kini, Helikoptina (Islam) telah bertukar tangan. Daripada tangan Muhaimin (Bani Israel) kepada tangan kawan Muhaimin (khalifah). Dan Helikoptina telah membahagiakan insan-insan yang menghargai dirinya. 

Kata orang, kita akan mempersiakan sesuatu yang kita terima dengan mudah. Kita ini, lahir-lahir sudah Islam. Ajaran Islam sudah sebati dalam diri kita sejak kecil. Sehinggakan sekarang ini, kita sudah tidak tahu lagi untuk membezakan antara Islam dan adat. Kerana apa? Kerana kita tidak begitu mengambil kisah tentang cara hidup Islam yang sebenar. 

Sungguh. Menonton filem ini membuatkan saya jadi takut sendiri. Berada di negara yang bukan Islam ini menjadikan saya lebih mengenali Islam dalam erti kata yang sebenar. Saya
menjadi izzah (bangga) dengan Islam. Saya rasa bebas dan tidak segan silu mempamerkan yang saya seorang Muslim di sini. Saya mahu semua orang tahu bahawa saya seorang Muslim. 

Namun berbeza pula situasinya dengan Malaysia. Apabila disebut sahaja orang Melayu. Pastilah yang terlintas beragama Islam. Dalam pada kita sedar atau tidak, kita telah membawa nama Islam itu walau ke mana sahaja kita berada. Namun, tanpa kita sedari, kita sendiri yang mencemarkan nama baik Islam itu. Hakikatnya ajaran Islam itu mulia dan indah, cuma kita penganutnya ini sahaja yang kurang mulia dan indah.

Semoga kita semua mampu menunjukkan contoh individu Muslim dalam erti kata yang sebenar kepada masyarakat. Semoga kita berpegang teguh kepada agama ini. Andai kata kita futur, ayuhlah berusaha untuk bangkit kembali. Jangan pernah berputus asa dalam mengejar rahmat dan redha ALLAH. 

"Ya muqallibal qulub, tsabbit qulubana 'ala deenik." 

Moga-moga kita tidak digantikan oleh ALLAH dengan kaum yang lain lagi. Moga kitalah kaum yang telah digantikan itu. Kaum yang bisa menegakkan syiar Islam di mata dunia. Ameen. Insyaa-ALLAH.

*****
Apabila berakhirnya semester musim bunga ini, bermakna saya cuma ada satu semester sahaja lagi di sini. Kemudian, akan pulang berkhidmat di tanah air. Risau. Sungguh saya risau. Risau andai kata saya kalah di medan tempur nanti. Risau andai kata tidak cukup persediaan di medan latihan selama hampir 5 tahun ini. 

Semoga ALLAH mengekalkan saya dan kita semua di jalan-NYA. Moga kita semua bisa berdiri teguh dan utuh di atas jalan dakwah dan tarbiyah ini walau badai melanda. Ameen. Insyaa-ALLAH.

Iman itu...memang yaazid wa yankuz. Menaik dan menurun. Ada jatuh bangunnya. Untuk itu, moga kita semua tidak terus-menerus berada dalam keadaan futur. Ayuh! Bangkitlah kembali andai futur. Carilah kekuatan ruhi dengan penerapan nilai-nilai tarbawi dalam diri. 

Mahu menjadi golongan yang ditapis atau tertapis. Kitalah yang memilih.

Oh ya. Ini tadabbur tukang buat filem; Inche Madmie.





No comments: