Semilir angin petang
menghembus lembut mengibar-ngibarkan selendang yang dipakainya. Wajahnya
mendongak ke atas. Memandang langit senja yang sudah pudar birunya. Berganti
warna keperang-perangan dek penangan sang bebola gergasi yang sudah mahu
melabuhkan tirainya. Menandakan sebentar sahaja lagi akan masuknya waktu
Maghrib.
“Subhana-ALLAH! Cantik sungguh ciptaan-MU, Ya ALLAH.”
Terpacul kalimah suci itu dari ulas bibirnya. Mengagumi
keindahan ciptaan Ilahi. Terasa tenang. Lelah yang menekan jiwanya sedari tadi
sedikit demi sedikit menjauh dari dalam diri.
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati
mereka menjadi tenteram
dengan
mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH
hati
menjadi tenteram.”
[Ar-Ra’d, 13:28]
Dia teringat akan sebaris ayat itu. Sungguhlah
bagai dikata. Itu bukan kata-kata manusia. Itu kalam sang Pencipta. Hanya
dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang…
Tidak sia-sia dia ke mari. Menghadap tasik yang tidak
beriak. Melihat kanak-kanak kecil berlari-lari riang. Memerhati lalang
meliuk-lintuk ditiup angin. Mendengar unggas petang berkicau riuh. Mungkin mahu
pulang ke sarang setelah seharian mencari rezeki.
Tanpa sedar air matanya mengalir.
“Aku tak kuat, ya ALLAH. Hadirkanlah kekuatan dalam diriku,
Ya Rahman untuk melawan segala rasa yang tidak patut ini.” Dia merintih hiba.
Tangan diangkat menggenggam dada kiri. Sakitnya benar-benar
terasa. Sukar sungguh untuk dia melepaskan segala rasa ini. Sungguh. Dia
ingatkan dia sudah mampu melupakan. Namun dia silap. Rasa itu masih ada.
Tersimpan jauh di sudut hatinya yang paling dalam.
Mana mungkin rasa sayang yang sudah terpahat kukuh di
hatinya ini dibuang begitu sahaja. Dia tahu rasa ini suci. Dia tahu rasa ini
suatu fitrah. Dia juga tahu, dia sudah salah menyalurkan rasa ini kepada yang
tidak berhak. Namun… dia bagaikan ingin menafikan segala apa yang dia tahu
salah itu. Mahu menegakkan benang yang sudah basah lencun.
“Bukannya kita tidak boleh bercinta. Boleh. Tapi lebih
manis kiranya dengan ikatan perkahwinan.”
Ayat itu benar-benar membuatkannya tersentap. Terkedu.
Terpaku. Artikel yang dia baca lewat laman sesawang itulah yang membawanya ke
tasik ini. Mahu menenangkan diri. Mahu mencari diri. Mahu menyelami hati
nurani.
“ALLAH… Ujian ini amat berat untuk aku hadapi. Aku tak
kuat, ya ALLAH.”
Bibirnya diketap kuat. Menahan rasa sebak. Nafas ditarik
dalam. Mahu menghalang tangisannya daripada terhambur keluar.
Tidak putus-putus dia beristighfar. Mahu menghalang segala
hasutan syaitan. Kepala digeleng-gelengkan.
“Tidak! Aku tidak boleh lemah begini. Aku kena kuat!”
Dia bangkit dari duduknya. Penumbuk digenggam.
“Kuat Hannah!”
Air mata yang menitik setitis ke pipi disekanya. Senyum
diukir di bibir. Langit petang berwarna keemasan dipanjang sekilas. Mencari
kekuatan dari Rabbul Izzati.
“ALLAH… ALLAH… ALLAH… Subhana-ALLAH. Alhamdulillah. ALLAHU
Akbar.”
Setiap langkahnya diiringi alunan zikir. Dia tidak mahu
kalah lagi dengan perasaan sendiri.
“Hannah.”
Kepalanya mendongak memandang gerangan yang memanggil
namanya. Tangan yang tadinya laju menyalin setiap kata-kata yang terbit dari
bibir murabbinya terhenti di tengah-tengah muka surat.
“Ya?”
Dahinya berkerut kala melihat lima pasang mata kini
tertumpu pada dirinya. Keningnya diangkat memberi isyarat bertanya dalam diam.
“Hannah ada nak cakap apa-apa tentang ayat yang kita
tadabur ni?” Kak Rumaysa tersenyum manis memandangnya.
“Tak ada, kak.” Dia menggeleng lemah. Senyuman dihulurkan
biarpun terasa hambar. Bukan dia tidak mahu bertanya ataupun meluahkan apa yang
dia rasa. Cumanya dia sedang mempertimbangkan adakah patut untuk dia meluahkan
segala rasa yang terbuku ini? Dia malu sebenarnya dengan mereka semua. Sungguh.
Dia benar-benar malu.
“Baiklah. Yang lain?” Kak Rumaysa memandang setiap wajah
yang hadir. Dapat dirasakan bahawa Hannah mempunyai masalah. Namun bukan
sikapnya untuk memaksa.
“Kak Rumaysa, dalam surah Al-Ankabut ayat 2 ini kan ALLAH
cakap yang DIA akan uji kita. Maknanya setiap ujian yang ALLAH bagi pada kita
tu… kita mampu hadapilah? Macam tu ke akak?” Berlapis-lapis dahi Farah saat
melontarkan pertanyaan. Nampak benar dia agak keliru dan kurang memahami ayat
yang telah mereka tadabur bersama sebentar tadi. Padahal kak Rumaysa sudah
panjang lebar menjelaskan makna ayat itu tadi.
Kak Rumaysa membacakan kembali ayat suci al-Quran itu
berserta maksudnya.
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan
dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak
diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka ALLAH
pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang
berdusta.”
[Al-Ankabut, 29:2-3]
“Iya. ALLAH pasti akan menguji setiap manusia
yang telah mengaku dia beriman.”
Jeda.
“Insyaa-ALLAH. Kita mampu menghadapi setiap ujian yang
ALLAH berikan. Kerana apa? Kerana ALLAH tidak mungkin akan membebani kita
dengan sesuatu yang tidak mampu kita hadapinya. Boleh rujuk surah Al-Baqarah
ayat 286.”
“ALLAH tidak membebani seseorang melainkan
sesuai dengan kesanggupannya…”
[Al-Baqarah, 2:286]
“Ujian itu tanda ALLAH sayang pada kita;
hamba-NYA. Sebab itu DIA berikan ujian pada kita. ALLAH beri ujian dan dugaan
bukan saja-saja. DIA nak naikkan tingkat keimanan kita. Sebab itu… saat diri
kita menerima ujian, kita seharusnya bersyukur. Menerima ujian itu dengan
senyuman. Dan… kita perlu bersabar saat diri diuji.”
Jeda.
“Dan solat itu laksana
sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar
matahari.” Suasana senyap tadi dipecahkan oleh suara lembut Humaira.
“Wuuhuu. Indahnya bahasa….” Zinnirah bersuara nakal mengusik Humaira
yang sudah merah pipinya. Pantang diusik, mulalah menyerbu darah naik ke muka!
Sesuai sungguh dengan namanya.
“Eh… itu hadis riwayat
Muslim tau! Rasullullah yang bersabda tu…” Humaira mempertahankan dirinya.
“Iya ke?”
“Ooo.” Masing-masing membulatkan mulut sambil
terangguk-angguk sendiri.
“Korang ni…
macam-macam.” Kak Rumaysa tidak mampu menahan bibirnya dari tersungging dengan
senyuman. Tawanya terletus.
“Alhamdulillah. Sekarang baru saya faham. Ujian itu tanda
ALLAH sayang. Dan kita kena sabar saat diri diuji… Jazakillahu khair kak
Rumaysa atas pencerahan. Hihi.” Farah bersuara girang. Laju sahaja tangannya
mencatat isi penting di dalam buku nota usrahnya.
“Waiyyaki.”
“Kak… rasa itu pun satu ujian kan?” Perlahan Hannah
bersuara. Pandangannya tepat menikam mata kak Rumaysa.
“Hmm.” Kak Rumaysa mengangguk kecil. “Bahkan seluruh
kehidupan kita inipun suatu ujian.”
“Rasa sayang, rasa cinta… itu suatu fitrah. Salurkanlah ia
sebaiknya. Tempatkan ia di tempat yang betul dan sewajarnya. Berikan sayang dan
cinta itu kepada yang berhak.”
“Tapi… untuk melakukannya tidak semudah kita bercakap, kak…”
Bergetar suara Hannah.
“Iya. Akak tahu itu. Akak faham.”
“Akak tak akan pernah faham kalau akak sendiri tidak pernah
melaluinya!” Kali ini suara Hannah sedikit meninggi.
Farah menggosok-gosok bahunya. Mahu menenangkan si teman
yang sudah turun naik nafasnya.
Kak Rumaysa menarik nafas panjang. Matanya dipejam kejap.
Mencari kekuatan. Matanya kemudian dibuka dan pandangannya terarah tepat ke
anak mata bundar Hannah.
“Akak tahu dan akak faham apa yang Hannah rasa kerana akak sendiri
pernah melaluinya…”
Setitis demi setitis mutiara kaca jatuh ke pipi kak
Rumaysa. Dia benar-benar kesal dengan khilafnya. Dia tidak malu untuk mengakui
kesilapannya di hadapan anak-anak usrahnya sendiri. Dia mahu mereka mengambil
pengajaran daripada kisah hidupnya.
“Kalau kita sendiri tidak ubah diri kita… ALLAH tak akan
ubah nasib kita, dik…”
Iya. Itulah ayat yang dipegangnya untuk dia berubah menjadi
baik selama ini. ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka
sendiri yang mengubah nasib mereka. Itu firman ALLAH dalam surah Ar-Ra’d ayat
kedua.
“Susah kak… saya dah cuba…” Kali ini air mata Hannah pula
yang mengalir laju. Bagaikan paip bocor. Tidak berhenti-henti mengalir biarpun
sudah dikesat berkali-kali.
“Hannah, kadang-kadang apa yang kita suka itu tak baik
untuk kita. Dan apa yang kita benci tu tak semestinya buruk untuk kita…”
Zinnirah yang berada di sisi kiri menggenggam tangan Hannah menyalurkan
kekuatan.
“Pengorbanan itu perlu untuk kebaikan, Hannah.” Humaira
bangun mendekati Hannah yang sudah teresak-esak di bahu Zinnirah.
“Anggaplah pengorbanan tu macam ubat… Walaupun pahit untuk
ditelan, tapi kita paksakan juga untuk memakannya. Kerana kita tahu ubat itu
akan menyembuhkan…” Usapan lembut Humaira di bahu Hannah bersama bisikan
perlahan itu benar-benar meresap masuk ke tangkai hati Hannah.
“Mulakan perlahan-lahan… Susah memang susah. Akak akuinya.
Tapi tak bermakna yang susah itu kita tak boleh buat, kan?”
“Kami sentiasa ada untuk Hannah. Dan yang paling penting…
DIA sentiasa ada. ALLAH sentiasa ada, Hannah. Mengadulah pada DIA. Mintalah
pada DIA. Pasti DIA akan mendengarnya.”
“ALLAH tahu Hannah kuat. DIA tahu Hannah boleh hadapi ujian
ini dengan jayanya. Sebab tu DIA pilih Hannah dalam ramai-ramai orang.” Rumaysa
tepuk tangan Hannah.
“Dan… kami tahu yang Hannah kami ni kuat. Kan? Kan?” Farah bersuara
ceria. Suasana yang suram tadi kembali bercahaya.
“Insyaa-ALLAH. Hannah cuba.” Hannah mengesat saki-baki air
matanya sambil tersenyum. Walau mata masih merah tapi mendung di wajahnya sudah
hilang. Yang tinggal hanya cahaya dan harapan.
“Macam inilah Hannah yang kami kenal…”
Wajah-wajah bersih di hadapan dan di sisinya ditatap satu
persatu. Bibirnya meluahkan empat huruf. Jay.
Zack. Kay. Kay. Jazakillahu khair. Semoga ALLAH membalasnya dengan
kebaikan.
Tidak sia-sia dia meluahkan segala rasa yang terbuku kepada
mereka. Rasa malu dan segan dibuang jauh-jauh. Dia tahu yang mereka pasti akan
membantunya. Mereka tidak akan memandang remeh pada dirinya.
Iya! Aku mesti kuat. Aku mesti sabar dengan ujian ini.
ALLAH tahu yang aku mampu melepasi ujian ini dengan jayanya. ALLAH tahu aku
kuat. DIA lebih tahu… Iya! DIA lebih tahu!
Syukran lillah. Hamdan lillah. Terima kasih, ya ALLAH.
Terima kasih kerana memberikan aku sahabat-sahabat seperti mereka ini. Yang
hadirnya mereka di sisiku memberikan ketenangan. Yang adanya mereka di sampingku
menyalurkan kekuatan. Saling melengkapkan apa yang terkurang. Saling mengingatkan
apa yang terlupa. Saling menutup segala kelemahan. Sungguh manis ukhuwah
kerana-MU, ya ALLAH.
ENGKAU satu cinta
Yang selamanya aku cari
Tiada waktu ku tinggalkan
Demi cintaku kepada-MU
Walau seribu rintangan
Kan menghadang dalam diri
Ku teguhkan hati ini
Hanya pada-MU
Nota kaki: Sebenarnya cerpen ini terinspirasi daripada Cerpen Sebab ALLAH Tahu. Tapi saya punya versi perempuan.
Entah. Tetiba gatal tangan untuk menulis. Padahal sekarang ini masa kritikal. Final project, assignment, reports dan exam...semuanya memburu-buru diri ini. Sebelum final exam menyusul 2 minggu lagi.
Apa yang baik datang daripada ALLAH. Apa yang tidak baik datang daripada kelemahan saya sendiri. Andai ada silap dan salah dalam penulisan harap dibetulkan.
Moga ALLAH redha. Ameen. Insyaa-ALLAH.
3 comments:
all the best!
- nabilah
Assalamualaikum dik,
Nama akak Rosliza dari bangi. Akak ni nak meminta sedikit bantuan dari adik jika adik tak keberatan. InsyaAllah october nanti akak akan ke Seoul bersama 2 org kwn (perempuan juga) selama 8 hari. kami gi sendiri je. tak pakai travel agent.
Jadi akak harap sgt kalo dapat contact no adik di sana maka kurang sikit cuak akak kalo ada orang malaysia yang akak kenal di sana. Sekurang-kurangnya kalo ada apa2 kami boleh rujuk adik. Tapi kami akan travel sendiri berdasarkan map. cuma just in case kalo kami perlukan bantuan adik. Itu pun kalau adik tak keberatan utk menganggap kami sebagai sahabat adik :)
ok tq dik..
Nabilah,
Thanks a lot. :')
Kak Rosliza,
Wa'alaikumussalam wbt kak Rosliza,
Okay. Insyaa-ALLAH. Boleh saja. Nanti saya emel contact no saya pada akak ya. :')
Post a Comment