Tuesday, November 27, 2012

Sekitar AGM 2012; Antara Merendah Diri Dan Membangga Diri

Assalamu'alaikum wbt.

Pada hari Sabtu, 24 November 2012 yang lepas, PPMK mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan 2012. 4 hari sudah berlalu. Bermakna sudah 4 hari PPMK11/12 melabuhkan tirai. Maksudnya sudah 4 hari juga PPMK12/13 membuka tirai. 

Jika AGM11 setahun yang lepas, saya tertarik dengan pembawakan Tuan Pengerusi SPR11 yang mengisi senggang masa pengiraan undi dengan sedikit pengisian dan celoteh yang bermanfaat, AGM12 kali ini pula lain ceritanya. Saya sangat tertarik dengan idea baharu yang diketengahkan oleh salah seorang ahli PPMK kepada calon yang bakal bertanding. Dan yang menambahkan kekaguman saya adalah apabila idea itu terus diaplikasikannya pada AGM12 kali ini. 

Idea baharu yang diketengahkan itu adalah setiap ahli yang bakal bertanding hendaklah menyediakan manifesto masing-masing untuk meraih undi. Sebelum ini, hanya calon presiden sahaja yang dikehendaki menyediakan manifesto. Perkara ini termaktub di dalam Perlembagaan PPMK di bawah Perkara 10: Sistem Pemilihan AJK Tadbir, Fasa 3: Proses Pencalonan Presiden. Saya kira, idea ini bagus dan lebih elok sekiranya idea ini dimasukkan ke dalam rang Perlembagaan PPMK. :') (Eh, tapi itu memerlukan penggubalan  atau pemindahan perlembagaan la. Mungkin akan melalui prosuder yang agak kompleks.)

Apa yang boleh saya katakan, proses pengundian bertambah 'happening' dengan adanya sesi pembentangan manifesto ini. Suasana AGM12 kali ini, pada saya, agak hambar pada mulanya. Sejak dari hari penamaan calon lagi terasa hambarnya. Jika sebelum ini, profil-profil calon akan terpapar di laman blog atau laman sosial yang lain, namun kali ini memang tiada langsung paparan sedemikian. Kemudian keadaan menjadi agak kontroversi saya kira, setelah ada antara calon AJK Tertinggi menarik diri daripada bertanding. Bahkan calon presiden yang menang tanpa bertanding juga menarik diri! 

Wuuhuu. Rasanya rata-rata ahli PPMK heboh dengan hal ini. Pelbagai asumsi telah dibuat. Namun, hanya empunya badan yang mampu menjawabnya. Dan persoalan itu terjawab pada hari AGM12.



Pepatah 'Mata pena lebih tajam dari mata pedang' itu terbukti benarnya pada AGM12 ini. Idea itu pada mulanya ditulis di laman blog sahaja. Namun, idea itu tidak sekadar dibiarkan begitu sahaja. Penulisnya menterjemahkannya ke dalam tindakan. 'Walk the talk.' Iya. Itulah yang penulis lakukan. Dan kami semua memang melihat hasilnya yang memberansangkan. 

Saya boleh katakan, ideanya diterima pakai dan disebarluaskan oleh ahli yang lain juga. Sehinggakan ada ahli yang mencadangkan agar idea itu digunakan pada masa akan datang. (Sebenarnya, saya pun hanya menatap lakaran idea ini setelah ahli yang lain itu mencadangkan idea berkenaan. Tapi saya sudah nampak usaha dan kesungguhan penulis menterjemahkan ideanya dalam bentuk tindakan. Syabas saya ucapkan kepada penulis.) 

Di sini saya boleh nampak yang setiap tindakan kita itu berbicara lebih pantas dan lebih bagus daripada lisan kita sendiri. 'Actions speaks louder than words.' Kita tak perlu pun berdegar-degar mencanang sana sini itu idea kita. Ini kerja yang kita lakukan. Kerana masyarakat sekeliling sudah mampu melihat setiap perlakukan kita, setiap usaha kita. Merendah diri. Iya. Itu sifat dan sikap yang lebih disukai dan dihargai.

Saya juga melihat, sikap dan sifat membangga diri, mencanang dan memberitahu semua orang itu idea kita, ini usaha kita, merupakan perbuatan yang tidak berapa terpuji. Mungkin kita ingat, dengan berbuat sedemikian, kita dapatlah meraih undi yang banyak. Mungkin kita rasa, dengan memberitahu semua ahli apa yang kita sudah lakukan, kita bolehlah menang mudah. Namun, sebaliknya yang berlaku. Sungguhlah, bersikap membangga diri itu tidak menguntungkan diri sendiri.

AGM12 kali ini sebenarnya banyak memberikan pengajaran kepada saya.

1. Meraikan kesepakatan.
- Apabila kita telah mencapai kata sepakat dalam memutuskan sesuatu keputusan, kita hendaklah berpegang teguh kepada keputusan tersebut. 
- Tidak perlu ragu-ragu. Insyaa-ALLAH, itulah yang terbaik buat kita.

2. Teguran daripada ALLAH kepada saya.
- Malam sebelum AGM12 saya tidak cukup tidur dek penangan menyiapkan tugasan dan melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan. Cuma sempat tidur 1 jam setengah sahaja.
- Jadi, saya merancang mahu tidur ketika AGM12 berlangsung. (Teruk kan? Jangan ditiru  sikap saya ini.)
- ALLAH menegur saya dengan mendatangkan ilham kepada Hafizah untuk mencadangkan saya menjadi pencatat minit mesyuarat. (Hah, ambik engkau! Terus tak dapat tidur dan perlu sentiasa 'alert' sepanjang mesyuarat berlansung.)
-  Menjadi pencatat minit mesyuarat itu juga suatu amanah bukan? Jadi saya perlulah melunaskan tanggungjawab yang diberikan sebaiknya.
- Rupanya ada baiknya saya mememang amanah itu. Saya menjadi pemerhati yang 'alert'
dengan suasana sekeliling sepanjang tempoh AGM12 berlangsung. Saya boleh melihat pelbagai aksi dan telatah calon, pihak SPR dan ahli. Pelbagai kerenah. 

3. Tanggungjawab dan amanah yang digalas itu perlu dilaksanakan sebaiknya.
- Saya nampak, bagaimana setiap AJK PPMK2011/2012 berusaha untuk melunaskan tanggungjawab dan amanah yang dipegang sebaiknya.
- Saya juga lihat, ada yang usahanya melebihi AJK yang lain. Tugasnya ditunaikan sebaiknya. Dia juga membantu AJK yang lain. Sehinggakan dirinya dipuji dan disebut-sebut. 
- Apa yang boleh saya katakan, merendah diri itu suatu sikap yang terpuji terutama sekali saat kita dipuji. Menonjolkan bakat dan kebolehan yang ada itu perlu, cumanya elakkan daripada membangga diri. Kita akan memperolehi banyak ilmu apabila kita merendah diri.

Pada saya, AGM12 melakarkan pelbagai kisah dan cerita. Yang baik itu, kita ambil dan amalkan. Yang buruk itu, kita buang dan jadikan sebagai pedoman. 


Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada AJK PPMK2011/2012 dan AJK PPMK2012/2013.

Kepada AJK PPMK2011/2012, terima kasih atas segala usaha dan penat lelah merancang pelbagai program untuk kami semua. 

Kepada AJK PPMK2012/2013, selamat maju jaya. Semoga dapat meneraju PPMK dengan lebih sukses lagi. 




No comments: