Thursday, November 10, 2011

Hari Istimewa

Assalamu'alaikum wbt.

Hari ini merupakan hari istimewa untuk saya. 21 tahun yang lalu, Ummi dan We bergembira dengan kehadiran puteri sulung mereka. Iya, sayalah puteri sulung itu. Dilahirkan pada 10 November 1990; 21 tahun yang lalu.

Alhamdulillah. ALLAH masih memanjangkan umur saya sehingga ke saat ini. Alhamdulillah. Moga pertambahan umur ini makin mematangkan diri saya dan moga ia juga seiring dengan peningkatan amal. Insya-ALLAH.

Pertama dan utamanya, saya mengucapkan syukur yang tidak terhingga ke hadrat ALLAH SWT. Tanpa izin-NYA saya tidak akan wujud di dunia yang fana ini. Jutaan terima kasih juga kepada Ummi dan We yang memelihara, menjaga dan mendidik saya selama ini. Tanpa mereka, siapalah saya.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada 'dia'. Orang yang terawal mengucapkan 'Happy Birthday' kepada saya. Seawal 2 November, saya sudah menerima bingkisan dari Malaysia. Seharian saya tersenyum. Sehingga ke hari ini saya masih tersenyum apabila melihat kesemua pemberiannya. Waktu bungkusan itu sampai, saya tak sempat nak tengok betul-betul segala isinya sebab saya sedang berkejar untuk pergi usrah. Tapi saya sempat sambar kad yang terselit di celah-celah bungkusan itu. Saya membaca surat itu di dalam subway. Melihat luar surat sahaja sudah membuatkan saya tersenyum lebar. Sepanjang membaca surat itu saya tidak dapat menahan diri daripada berhenti tersenyum. Kejap-kejap senyum. Kejap- kejap ketawa. Pada masa yang sama mata bergenang dengan air mata. Sungguh saya rindu 'dia'. Terima kasih banyak-banyak kak ila. Terima kasih yang tidak terhingga. Hanya ALLAH yang mampu membalas segala kebaikan kak ila pada kak long dan adik-adik. I really miss you. Really love you fillah.
Terima kasih juga buat adik-adik. Malam tadi lagi sudah mendapat panggilan daripada mereka semua. Terima kasih. Kakak sentiasa doakan yang terbaik untuk kalian.

Terima kasih juga kepada teman-teman serumah yang belikan kek untuk saya. Terima kasih. Minta maaf juga atas segala salah dan silap sepanjang kita serumah. Terima kasih Nisaa. Terima kasih Ayla. Terima kasih Krun. :)

Terima kasih kepada semua sahabat-sahibah, teman-teman, rakan-rakan dan kawan-kawan. Terima kasih kepada semua senior dan junior. Terima kasih kepada semua yang mengucapkan selamat dan mendoakan saya. Terima kasih. Saya doakan agar kalian semua sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan perlindungan ALLAH selalu. Insya-ALLAH.
Pertambahan usia ini
Bermakna kematian makin mendekati diri
Bermakna amal perlu ditingkatkan dan diperbaiki
Bermakna diri makin matang, tidak boleh main-main lagi!

*Terima kasih kak Lina. Cantik bunga ni. Secantik pengirimnya^^*


Nota 1: Ada orang kata pada saya, "Yang terdekat ialah BM". OK. Saya setuju. Yang terdekat ialah BM. Cuma mungkin itu bukan prioriti buat masa sekarang.

Nota 2: Ada orang suruh saya jangan garang-garang. Garang sangat ke saya selama ni? huhu.

Nota 3: Tahun depan, hari istimewa ini akan menjadi lebih istimewa. Kenapa? Nombornya teramat sangatlah cantik - 10.11.12.

Nota 4: Maafkan saya andai saya ada menyinggung perasaan sesiapa yang membaca post ini. Maafkan saya. Semoga ALLAH merahmati dan meredhai kalian. Saya doakan yang terbaik untuk kalian. Insya-ALLAH.

Monday, November 7, 2011

Mati Sebagai Muslim

Assalamu'alaikum wbt.

Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya AidilAdha untuk semua. Alhamdulillah, ALLAH masih memberikan kita semua kesempatan untuk menyambutnya lagi pada tahun ini. Alhamdulillah.

Malam tadi, sewaktu menelefon rumah, saya mendapat perkhabaran tentang kematian 2 orang jiran sekampung. Seorang meninggal pada awal dinihari AidilAdha dan seorang lagi meninggal pada Asar AidilAdha. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Daripada ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali.

"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan."
[Al-Ankabut, 29: 57]

Kita pun bila-bila masa sahaja akan dijemput Ilahi. Hakikatnya setiap masa dan setiap saat yang berlalu, semakin dekat kita menghampiri kematian. Mati itu suatu yang pasti. Sesiapa sahaja, di mana sahaja dan bila-bila masa sahaja, bila sampai masanya, pasti akan berhadapan dengan kematian. Tidak dapat tidak, setiap orang akan melalui detik-detik itu.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH sebenar-benar takwa kepada-NYA dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim."
[Ali-Imran, 3: 101]

Saya percaya, kita sentiasa mendengar ayat ini. Terutamanya kaum Adam. Insya-ALLAH, kalian pasti akan mendengar ayat ini pada setiap minggu. Pada setiap hari Jumaat, khatib akan membacakan ayat ini.

Sejujurnya saya sampaikan boleh terhafal sebaris ayat surah Ali-Imran ini disebabkan kerap kali mendengarnya. Rumah saya memang berdekatan dengan masjid. Jadinya setiap kali khatib membacakan khutbah Jumaat, kami yang berada di rumah ini pun tumpang sekaki mendengarnya.

Namun, kekerapan mendengar tidak bermakna jika tidak menghayati maksud di sebalik ayat tersebut. Bukan begitu? Maklum sahajalah, bahasa Arab itu bukan bahasa kita. Jika dihayati dan diperhatikan betul-betul makna sebaris ayat ini. Kita pasti akan terkesima. Amat mendalam sekali maksudnya.

"...Bertakwalah kepada ALLAH sebenar-benar takwa kepada-NYA..."

ALLAH menyeru kepada orang-orang beriman supaya bertakwa kepada-NYA dengan sebenar-benar takwa.

Apa itu takwa?

Maksud asal kalimah 'Takwa' ialah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Dari segi syara' pula, 'Takwa' bermaksud menjaga dan memelihara diri dari seksa dan murka ALLAH SWT dengan cara melaksanakan perintah-perintah-NYA, taat kepada-NYA dan menjauhi larangan-larangan-NYA serta menjauhi perbuatan maksiat.

Ayat itu tidak habis setakat itu sahaja. ALLAH menyambung lagi ayat berkenaan takwa dengan ayat yang berbunyi, "...dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim."

Iye. ALLAH seolah-olah memberikan amaran kepada kita semua. Kita kena mati dalam keadaan muslim.

Muslim itu apa? Betul. Terjemahan kasarnya orang Islam. Namun hakikatnya dilahirkan sebagai Islam tidak cukup untuk menggambarkan seseorang itu muslim. Untuk menjadi muslim dalam erti kata yang sebenar, seseorang itu perlu memenuhi 5 kriteria. Dalam dirinya perlu ada Surrender, Submittion, Obedience, Sincere and Peace.

Sebagai seorang muslim, kita perlu ada sifat surrender, submittion dan obedience. Dalam erti kata lain, kita perlu menyerah diri kepada ketentuan, kehendak dan suruhan ALLAH. Kita perlu melakukan kesemuanya dengan ikhlas (sincere). Kemudian daripada situlah akan lahirnya ketenangan (Peace). Itu tandanya kita redha dengan setiap suruhan ALLAH dan kita sedar bahawa setiap apa yang ALLAH suruh kita buat itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri.

Sebab itu, sebagai seorang muslim, kita sepatutnya tidak takut atau gentar menghadapi kematian. Kenapa perlu takut? Sedangkan matlamat kita ialah kehidupan selepas mati. Kenapa perlu takut? Bukankah kita sudah membuat persiapan untuk menghadapi kematian?

Iye. Begitulah yang sebetulnya. Namun sebaliknya yang terjadi bukan? Sejujurnya saya juga risau. Cukupkah amalan saya selama ini jika ALLAH mengambil nyawa saya sekarang? Amal apakah yang dapat saya tunjukkan dengan bangganya di hadapan ALLAH andai ALLAH memanggil saya menghadap-NYA saat ini? ALLAH. ALLAH. ALLAH. *Tunduk insaf*


Sebab itulah kita perlu sentiasa memastikan kita dalam keadaan muslim setiap masa, setiap ketika dan setiap saat. Islam kita bukannya pada waktu solat, puasa dan hal ibadah semata-mata. Hakikatnya, kita muslim dari saat kita membuka mata sehinggalah kita membuka mata semula keesokan harinya. Makan kita akan mendapat ganjaran bila mana kita memulakan dan menyudahkan pemakanan kita dengan bacaan doa. Tidur kita diberikan pahala bila mana kita membaca doa tidur dan berzikir mengingati ALLAH. Setiap langkah kaki kita untuk menuntut ilmu dihitung dan diberi ganjaran pahala bila mana kita niatkan semata-mata hanya kerana ALLAH. Pendek kata, kita muslim dalam setiap aspek kehidupan. The meaning of Islam itself is the way of life, right?

Akhir kata, marilah kita sama-sama berusaha menjadi seorang muslim setiap detik. Dengan itu, kita tidak perlu risau bila ALLAH ingin memisahkan nyawa dari badan kita. Insya-ALLAH. Saat kematian menjemput, kita pasti akan tersenyum gembira kerana kita termasuk dalam golongan yang ALLAH nyatakan dalam surah Ali-Imran itu; orang yang mati dalam keadaan muslim. Insya-ALLAH.

Nota 1: Apakah yang saya sudah lakukan sepanjang hampir 21 tahun hidup di dunia ini? *Air mata bergenang.*

Nota 2: Ya ALLAH, andai KAU menjemputku, apakah yang boleh ku bawa untuk dipersembahkan kepada-MU? *Tertunduk. Malu. Segan.*

Nota 3: Saya ingin hidup sebagai muslim dan mati sebagai muslim. Duhai, sahabat sahibah yang saya sayangi kerana ALLAH. Tariklah saya bersama kalian mencari redha Ilahi. Sama-sama kita melangkah menuju ke syurga yang abadi.

Friday, October 21, 2011

DIA Sentiasa Ada.

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Saya sudah selesai menjawab exam untuk minggu ini. Minggu depan ada lagi satu paper untuk dijawab, satu projek untuk dihantar dan satu speech untuk dipersembahkan pada hari yang sama. Moga-moga ALLAH permudahkan segalanya. Biiznillah. Insya-ALLAH.

Hari-hari sebelum ini, kesemua paper yang saya duduki banyak melibatkan pengiraan dan penggunaan formula. Kerjanya hafal formula, faham jalan kira dan mengira litar atau rajah-rajah sinusoidal dan sebagainya. Namun hari ini, buat pertama kalinya saya perlu menjawab soalan dengan membuat essay. Seolah-olah menjawab soalan sejarah ataupun jawab soalan biologi kertas 2 time SPM dulu sahaja rasanya.

Sudahlah saya ni lemah bab-bab menghafal ni. Tambahan pula sudah lama tidak menghafal. Setakat menghafal formula itu, boleh la. Itupun sempat lagi cipta formula sendiri time exam! Bijak sungguh! *Kalau cipta formula baru dan dapat anugerah Nobel tak apa la jugak kan?*

Saya jadi sangat takut untuk menjawab exam hari ini. Berdebar-debar. Puas baca, puas hafal. Tapi rasanya takde satu pun yang betul-betul melekat di ingatan. ALLAH. Sungguh rasa macam nak nangis. ALLAH. Hanya pada DIA saya berharap. Saya doa pada ALLAH moga DIA permudahkan saya untuk menjawab soalan-soalan exam nanti. Moga saya diberikan ketenangan dan saya boleh mengarang dengan baik.

Sungguhlah, ALLAH itu Maha Mendengar. ALLAH benar-benar mendengar doa dan aduan saya. DIA bantu saya. DIA permudahkan saya untuk menjawab soalan-soalan tadi. Saya tak jamin apa yang saya jawab tadi semua betul atau mengikut skema jawapan atau tidak. Tapi apa yang saya pasti saya tidak meninggalkan kertas itu kosong dan saya mampu menghasilkan karangan yang agak-agak panjang. Alhamdulillah. ALLAH bagi ketenangan dan permudahkan saya untuk menjawab soalan-soalan tadi. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya ALLAH. :')

Selesai sejam lima belas minit menjawab soalan Electronic Materials, saya menghantar kertas jawapan dengan senyuman lega. Alhamdulillah. Keluar dari kelas, saya tadahkan tangan mengucap syukur kepada ALLAH. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya ALLAH. KAU benar-benar membantu diri ini.

Tiba-tiba saya rasa sangat sebak. Terasa ada sesuatu yang terbuku di dada. Sambil mendongak langit yang sudah agak gelap kerana sudah hampir sejam waktu Asar berlalu, saya mengucapkan syukur yang tidak terhingga. Sungguh, mata sudah berkaca-kaca. Akhirnya tanpa segan silu menitis ke pipi.


ALLAH. ALLAH. ALLAH. Sungguh, DIA sentiasa ada di sisi saya saat saya perlukan diri-NYA. Apa yang membuatkan saya lebih sedih ialah saya seringkali melupakan diri-NYA. DIA sentiasa ada di sisi saya. Tidak kira di saat saya gembira atau saat saya bersedih. DIA sentiasa ada. Namun, adakah saya sentiasa mengingati-NYA seperti mana DIA sentiasa setia di sisi saya? ALLAHU AKBAR! Terasa tebal kulit muka. Malunya diri ini pada-MU, Ya ALLAH. Ampunkanlah diri yang hina dina ini, Ya ALLAH.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga
yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk
orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya),
baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang.
ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."
-Ali-Imran, 3: 133-134-

ALLAH itu sangat sweet kan? DIA dah janji nak bagi kita syurga. DIA pemurah sangat-sangat. DIA sentiasa ada untuk kita. Tinggal, kita perlu melakukan segala suruhan-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA. Syurga itu ALLAH akan bagi kepada sesiapa yang berjaya.

Kalau ikut ayat di atas ni, dari apa yang saya faham, ALLAH menyuruh kita segera meminta keampunan-NYA. DIA akan beri ganjaran syurga yang luasnya seluas langit dan bumi kepada orang-orang yang bertaqwa. Orang-orang bertaqwa tu macam mana? Ciri-cirinya ialah orang yang suka bersedekah tak kira time dia senang ataupun time dia susah, orang yang mampu menahan marahnya dan orang yang suka memaafkan orang lain.

Ingatlah, DIA sentiasa ada. DIA sentiasa ada untuk kita. Berdoalah. Mengadulah. Mintalah hanya pada-NYA. Ketahuilah bahawa DIA Maha Mendengar dan DIA Maha Pemurah. DIA Maha Pengasih dan DIA Maha Memiliki.


"Rabbana laa tuzigh qulubana ba'da iz hadai tana wa hablana milladunka rahmah, innaka antal wahhaab."

"Ya Tuhan kami, janganlah ENGKAU condongkan hati kami kepada kesesatan
setelah ENGKAU berikan petunjuk kepada kami,
dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-MU,
sesungguhnya ENGKAU Maha Pemberi."
-Ali-Imran, 3:8-





Tuesday, October 18, 2011

Hebatnya Seseorang Yang Memperjuangkan Islam!

Assalamu'alaikum wbt.

Subhana-ALLAH! Masya-ALLAH! Hebatnya seseorang yang memperjuangkan Islam! ALLAH...ALLAH...ALLAH...Air mata tidak segan silu keluar bagaikan paip pecah saat membaca kisah Allahyarhamah Ustazah Yoyoh Yusroh.

Beliau seorang aktivas yang bergerak aktif di Indonesia. Beliau seorang ahli politik hebat di Indonesia, ahli parlimen dan menjadi tokoh penting dalam PKS (Parti Keadilan Sejahtera). Beliau juga merupakan ibu kepada 13 orang anak! Masya-ALLAH! Ramai bukan? Bukan 5, bukan 6, tetapi 13 orang! Anak yang pertama berumur 26 tahun dan anak yang bongsu berusia 8 tahun.

Ada dinyatakan di blog yang saya linkkan tadi, setiap kali selesai solat, beliau akan menyebut nama kesemua anaknya. Subhana-ALLAH! Anaknya bukan seorang-dua, tetapi 13 orang! Dan beliau juga akan bangun tahajjud 2 rakaat bagi setiap seorang anak-anaknya. Maknanya, beliau tahajjud 26 rakaat!

ALLAH! Membaca baris-baris ayat ini, tanpa sedar air mata sudah beranak sungai di pipi. Besar sungguh jasa seorang ibu bukan? Saya jadi teringat pada Ummi. Setiap kali mahu menduduki peperiksaan, pasti saya akan call Ummi dan request, "Ummi doakan kakak ye..." Apa yang pasti jawapan Ummi pasti akan menyentapkan saya. Ummi pasti akan jawab begini, "Selagi Ummi masih bernafas, Ummi sentiasa doakan kesejahteraan dan keselamatan anak-anak Ummi." ALLAH. Betapa setiap langkah kaki kita sentiasa diiringi doa seorang ibu. Hargailah ibu anda selagi masih diberi kesempatan.
Sebenarnya ini baru kali pertama saya mendengar namanya. Terasa rugi sekali. Diri ini hanya mengenali insan hebat ini selepas beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Namun ada lagi yang lebih menyentapkan hati saya. Saat membaca kisah beliau dengan ibu-ibu di Palestin. Rata-rata orang Palestin mempunyai anak seramai 14 orang. ALLAH. Kiranya bagi orang Palestin mempunyai anak seramai 14 orang itu satu perkara biasa. Terbalik dengan kita bukan? Bila dengar kawan yang ada adik-beradik 10 orang pun sudah kata, "Ramainya..." Tapi bagi mereka di sana, mempunyai adik-beradik 14 orang itu suatu yang biasa. Alahai...

Apabila ditanya tentang tahap hafalan Al-Quran Ustazah Yoyoh Yusroh, beliau menyatakan yang beliau hanya menghafal 20 juzu' Al-Quran. Apa yang makin membuatkan saya tersentap ialah apabila kaum ibu Palestina itu bertanya lagi, "Apa yang kamu buat selama ini sehingga di usia 41 tahun, masih belum menghafal Al-Quran?"

ALLAH! Terasa seperti dihempap batu besar kemudian datang bulldozer menggilis badan saya. Saya terbayangkan ibu itu bertanyakan perkara yang sama pada saya. Alahai...malu sungguh rasanya. Mereka di sana walau dalam keadaan yang genting, sentiasa dihujani bom-bom dan letupan masih boleh melahirkan 14 orang anak dan masih lagi boleh menghafal 30 juzu' Al-Quran. Saya? Dalam keadaan aman damai. Dalam pada tiada suami dan anak untuk dijaga. Tak usah kata 30 juzu', surah-surah dalam mukaddam itu pun masih belum terhafal. ALLAH. ALLAH. ALLAH....*Menangis sambil kepala makin menunduk ke bawah*

Saya sangat tertarik dengan ta'aruf yang dilakukan oleh warga Palestin. Mereka memperkenalkan diri mereka begitu hebat sekali. Sehinggakan saya tersentap sekali lagi. Bagaimana mereka memperkenalkan diri mereka?

"Ana Ummu Maryam, ana hafidzah, ana muhandis." (Saya Ummu Maryam, saya seorang penghafal Al-Quran, saya seorang jurutera.)

Subhana-ALLAH! Hebat bukan? Bayangkan anaknya 14 orang, dia hafal Al-Quran, dia juga seorang engineer. Wow!

Siapa yang tidak sentap bila mendengarkan ayat-ayat ini? Memang hebat. Dengan anak yang ramai, dia masih ada masa untuk menghafal Al-Quran. Bukan satu juzu' yang dihafalnya, tapi 30 juzu'. Satu Al-Quran! Lepas tu dia bekerja, bukannya suri rumah. Bukan calang-calang pekerjaan, engineer tu...

Apa yang saya nampak di sini, betapa hebatnya hidup seseorang yang memperjuangkan Islam itu. Walau mempunyai anak yang ramai, walau banyak tugas dan tanggungjawab yang dipikul, namun masih tetap utuh dan teguh mendekatkan diri pada ALLAH. Masih mampu menghafal Al-Quran. Masih bekerja untuk Islam. Subhana-ALLAH. Sungguh, segala kekuatan itu pemberian ALLAH. Andai diri berkehendak, pasti ALLAH akan menolong mempermudahkan segala urusan.

Jom sama-sama jadi hebat, yuk!

Ehem. Saya ingin memetik kata-kata Ustazah Yoyoh Yusroh saat beliau membicarakan perihal kehebatan wanita-wanita Palestin ini. *Mata bersinar-sinar terang*

"...Persiapkanlah menjadi seorang isteri dan ibu. Seorang wanita harus mempersiapkan menjadi ibu generasi, siap menjadi ibu sihat. Oleh kerana itu, perhatikanlah menu-menu makanan yang kita makan. Dari rahim inilah akan tumbuh embrio yang luar biasa dari seorang ibu yang luar biasa. Dari rahim inilah akan tumbuh embrio yang sihat dari seorang ibu yang sehat."

Macam mana? Besar peranan kita sebenarnya. Buat gadis-gadis, walau alam perkahwinan itu masih tidak nampak bayangnya, persiapkanlah diri dari sekarang. Kita bukan sahaja bersiap untuk menghadapi perkahwinan, bukan juga bersiap untuk menjadi seorang isteri tetapi kita bersiap untuk menjadi seorang ibu; ibu pada anak-anak yang bakal kita lahirkan nanti.


Nota 1: Bacaan pagi yang sungguh menyentap jiwa dan raga. Membuatkan diri ini terasa kerdil. Menginsafi kekurangan dan kealpaan diri.

Nota 2: Jasa seorang ibu itu sungguh besar bukan? Hargailah ibu anda selagi masih diberikan kesempatan oleh-NYA.

Nota 3: Teringin untuk memperkenalkan diri sebagai, "Ana Ummu Maryam, ana hafidzah, ana muhandis!" suatu hari nanti. Insya-ALLAH. Biiznillah.

Nota 4: Mahu bersedia menjadi seorang Ummi. Menjadi isteri mungkin hanya sekejap, kemudian pastinya akan menjadi Ummi, jika ALLAH izinkan. Jadi perlu bersedia dari sekarang. Yuk, sama-sama bersedia yuk! *Kenyit mata*





Friday, October 14, 2011

Exam? Tawakal Saje La....

Assalamu'alaikum wbt.

Bermula Isnin minggu depan, mahasiswa dan mahasiswi di Bumi Sonata ini akan menduduki ujian pertengahan semester musim luruh. Pastinya sekarang ini perpustakaan meriah dengan kehadiran pelajar setiap masa dan ketika. Siap ada yang berkampung di sana dua minggu menjelang peperiksaan!

Macam mana kawan-kawan? Sudah bersedia untuk menghadapi exam? Okay. Tak perlu jawab. Jawab dalam hati eh. :P

Exam? Tawakal saje la...

Aik? Aik? Boleh gitu eh? Result tu kan memang ALLAH dah tetapkan. Jadinya buat apa nak berusaha lagi? Usaha ke...tak ke...resultnya sama jugak...Tawakal saje la...

Betul ke begitu? Okay. Mari kita ikuti kisah ini.

Kisah 1 :

Zie bersiap-siap untuk pulang ke kampung. Selepas memasukkan beg yang berisi pakaian untuk seminggu ke dalam bonet kereta. Dia memeriksa kesemua pintu dan tingkap rumah sewanya sekali lagi bagi memastikan semuanya telah ditutup dan dikunci. Kemudian dia mengunci pintu utama. Dengan lafaz, Bismillahi tawakal tu 'alallah, dia memulakan perjalanannya pulang ke kampung. Serahkan segalanya pada ALLAH. Moga rumah yang kosong tanpa penghuni selama seminggu itu dijaga oleh ALLAH. Ameen. Itu doanya di dalam hati.

Kisah 2:

Ann bersiap-siap untuk pulang ke kampung. Dia memasukkan beg yang berisi pakaian selama seminggu ke dalam bonet kereta. Pintu utama rumah sewanya ditutup. Tidak perlu dikunci katanya, tawakal pada ALLAH sahaja. Dipandang sepintas lalu sekitar rumah. Bismillahi tawakal tu 'alallah, ucapnya. Terus dia memasuki kereta dan memulakan perjalanan pulang ke kampung. Semoga rumah yang kosong tanpa penghuni selama seminggu itu dijaga oleh ALLAH. Ameen. Itu doanya di dalam hati.

Agak-agak rumah siapa yang senang dimasuki pencuri? Rumah Zie ke rumah Ann? Confirm-confirm la rumah Ann kan? Saya tak kata rumah Zie tidak akan dimasuki pencuri. Tapi lagi senang pencuri nak masuk ke rumah yang tidak berkunci dibandingkan dengan rumah yang berkunci. Bukan begitu? Okay. Saya mengaku contoh saya ni terlebih advance. Tapi harapnya mesej yang hendak disampaikan dapat ditangkaplah ye. :D

Okay. Berbalik kepada topik kita. Memang. Memang setiap apa yang berlaku pada diri kita ini ALLAH sudah tetapkan. Kita tidak boleh menolak qada' dan qadar itu. Maknanya di sini, result exam kita tu pun, memang ALLAH dah tetapkan. Tetapi adakah itu bermakna kita tidak perlu berusaha langsung? Hanya bertawakal pada ALLAH semata-mata. Begitukah?

Sahabat-sahibah yang saya sayangi. Jangan keliru dengan usaha dan tawakal ini. Jom kita ikuti kisah yang tercatat dalam hadis riwayat Tarmizi ini.

Telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, adakah unta ini perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan sahaja kemudian bertawakal?" Rasulullah SAW menjawab, "Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal."-HR Tarmizi-

Jelaskan di sini bahawa kita perlu juga berusaha sebelum kita bertawakal. Tawakal itu apa? Tawakal itu maksudnya menyerah diri kepada ALLAH dalam melaksanakan sesuatu perancangan bersandarkan kepada kekuatan-NYA dalam menjayakan sesuatu pekerjaan. Dalam kata lain, tawakal itu kita berserah diri hanya pada ALLAH dan hanya mengharapkan perlindungan ALLAH semata-mata.

Macam dalam exam. Setelah kita bertungkus-lumus study, berusaha sehabis mungkin dan selesai menjawab soalan exam, kita tawakal pada ALLAH. Segala keputusan yang kita akan terima selepas ini, kita serahkan pada ALLAH.

Jika kita mendapat result yang bagus, yang cemerlang, bersyukurlah. Namun jika kita mendapat result yang tidak berapa bagus, jangan berputus asa. Berusaha lagi. ALLAH melihat pada usaha yang kita lakukan. ALLAH tidak melihat kepada keputusan yang kita dapat. Sesungguhnya setiap usaha yang kita lakukan tadi telah ALLAH hitung.

Mungkin ALLAH berikan kita result yang kita tidak ingini sebab kalau ALLAH bagi kita result yang cemerlang, kita jadi riak, bangga diri dan lupakan ALLAH. Ha...Itu boleh jadi kan? Think positively. ALLAH bukan saja-saja nak bagi kita result yang teruk tu. Mungkin ALLAH nak bagi kita result yang lebih baik lagi selepas ini. Siapa tahu kan?

Jangan sedih dan jangan cepat berputus asa seandainya menerima kegagalan. Gagal itu bukan untuk melemahkan, namun gagal itu untuk menjadikan anda lebih berjaya pada masa akan datang. Jangan berputus asa dengan rahmat ALLAH. Berdoalah pada-NYA. Dalam masa yang sama berusahalah sehabis daya.

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat ALLAH, hanyalah orang-orang kafir."
-Yusuf,12:87-


"apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu (Muhammad) tentang AKU, maka sesungguhnya AKU dekat. AKU kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-KU dan beriman kepada-KU, agar mereka memperoleh kebenaran."
-Al-Baqarah,2:186-

Nampakkan? ALLAH bagitahu yang DIA dekat je dengan kita. ALLAH siap suruh lagi kita berdoa pada DIA. Tak cukup dengan itu, DIA kata yang DIA akan kabulkan doa kita. Tapi ada syaratnya. Apa dia syarat tu? Kita kena la buat apa yang ALLAH suruh dan tinggalkan apa yang ALLAH larang serta beriman pada ALLAH.

Saya percaya kita selalu je baca ayat seribu dinar kan? Ayat murah rezeki orang kata. Jom sama-sama kita hayati maksud sebahagian ayat seribu dinar ni.

"Dan DIA memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan)nya. Sungguh, ALLAH telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu."
-At-Talaq,65:3-

Jelaslah di sini bahawa ALLAH menyuruh kita bertawakal kepada-NYA. ALLAH siap bagi jaminan lagi yang DIA akan mencukupkan segala keperluan kita semua jika kita bertawakal kepada-NYA.

Bila exam nanti, berusahalah bersungguh-sungguh, berdoalah dan kemudian bertawakallah pada ALLAH.

D-DOA,U-USAHA, I-IKHTIAR, T-TAWAKAL


Selamat menghadapai ujian pertengahan semester buat semua sahabat-sahibah, senior-junior di Korea Selatan khususnya dan kepada semua yang akan menghadapi ujian. Bittaufiq wannajah fil imtihan. Rabbana yusahhil. Teruskan berusaha. Teruskan melontar doa. Selebihnya serahkan hanya pada-NYA. Sesungguhnya DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk kita semua; hamba-hamba-NYA. Insya-ALLAH wa biiznillah.

Nota 1: Ingat D-U-I-T, ingat You can DO IT!

Nota 2: First time nak exam waktu malam. First time jugak akan exam time orang dah habis exam. Haish~

Nota 3: Jangan pernah berputus asa pada rahmat ALLAH. ALLAH sahaja yang mampu tolong kita. Berdoalah. DIA pasti mendengarnya. :)

Nota 4: Mohon maaf atas segala salah dan silap. Saya doakan yang terbaik untuk kalian. May ALLAH bless.


Thursday, October 13, 2011

Syukran Lillah. Hamdan Lillah. :)

Assalamu'alaikum wbt.

Seminggu tanpa sebarang update. (Eceh. Macam la ada orang kisah kalau tak update lebih dari seminggu pun. Perasan la awak.) Minggu ni memang minggu 'Mari Membuat dan Menghantar Assignment'. Setiap hari ada sahaja assignment yang perlu dihantar. Esok pun ada 1 report dan 1 assignment yang perlu dihantar. Mencuri sedikit masa untuk membersihkan sesawang di laman hijau ini.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Tiada kata yang dapat saya ungkapkan. Hanya sejuta kesyukuran dipanjatkan buat Yang Maha Esa. Selepas beberapa pertimbangan dibuat, diambil kira pro dan kontranya. Setelah memohon petunjuk dari-NYA. Alhamdulillah. Akhirnya saya kira ini yang terbaik. Hari ini tidak habis-habis tersenyum. Bila dengar 'Hakikat Bahagia', lagilah melebar senyum saya. *Ini terpengaruh dengan lagu awak la ni..:P*




Masih ingat pada 'Inside Out. Upside Down'? Alhamdulillah. Saya sudah menemui jawapan pada pilihan-pilihan yang terbentang di depan mata. Alhamdulillah. Moga ini yang terbaik. Biiznillah.

Saya ada janji yang saya akan khabarkan seandainya saya menemui keputusan yang dicari. Alhamdulillah. Nampaknya keputusan sudah dibuat. Sungguh, saya merasakan segala urusan saya dipermudahkan. Semalam saat saya tengah kerisauan dan kebingungan ingin meminta bantuan siapa selepas orang yang saya harapkan tidak dapat membantu, ALLAH hadirkan seorang insan yang sudi menghulurkan tangan. Alhamdulillah. Jazakillahu khairan kathiran. :) Terharu sangat-sangat. Dah bergenang dah. Tunggu mutiara ni nak jatuh je.

Malam itu juga saya selesaikan segala urusan. Dengan bantuan seorang teman. Masalah yang dihadapi pun sudah dapat diselesaikan lewat tengah hari tadi. Alhamdulillah. Memang ALLAH permudahkan segala urusan. Jazakallah buat teman yang membantu.


Mesti ramai yang tertanya-tanya, perkara apa yang membuatkan saya susah sangat untuk membuat keputusan ni kan? Sebenarnya semua ini perihal cuti musim sejuk nanti. Saya berbelah-bagi antara ingin pulang ke Malaysia atau berjaulah ke Jepun.

Memandangkan cuti musim panas yang lalu saya tidak pulang ke Malaysia, saya berhajat untuk pulang pada cuti musim sejuk kali ini. Namun apabila mengetahui yang ada sahabat-sahibah hendak berjaulah ke Jepun, saya teruja untuk ikut serta. Namun dengan kewangan yang terhad, saya perlu memilih. Sama ada untuk pulang ke Malaysia atau ke Jepun. Saya tidak boleh mengambil kedua-duanya sekali.

ALLAH. Saya paling tak suka bila perlu memilih. Sebab? Saya tak pandai. Kalau boleh nak dua-dua. Tamak kan? Mula-mula tu hanya dengan sekali fikir, saya call parent cakap yang saya mungkin tak jadi balik winter nanti. Saya nak ke Jepun. Ummi okay je. We pun okay je, even mula-mula tu terkejut sebab sebelum ini saya yang terlebih excited nak balik. Mereka kata, "Nanti raya kan nak balik. Tak apa la kalau tak balik winter ni pun. Tak lama dah pun nak balik raya..."

Namun demikian, saya masih tidak tenang. Walaupun sudah mengkhabarkan kepada Ummi, We dan adik-adik yang saya mungkin tak jadi balik. Bila dengar suara sayu adik-adik yang mungkin kecewa bila saya beritahu tidak jadi balik, keputusan yang saya buat mula goyah. Saya katakan pada diri saya, perlu difikirkan lagi ni, adakah ini yang terbaik?

Keputusannya terletak pada saya kan? Sama ada untuk saya memilih untuk balik ke Malaysia atau untuk ke Jepun. Saya tak tahu nak ceritakan atau mengadu pada sesiapa. Sebabnya bila diceritakan pun, keputusannya terletak pada saya juga. Hanya pada DIA Yang Maha Mendengar saya luahkan segala rasa. Rasa gundah. Rasa tak keruan. Rasa serba-salah. Semuanya. Saya serahkan segala-galanya hanya pada-NYA. DIA lebih tahu apa yang terbaik buat saya; hamba-NYA yang lemah lagi hina ini.

Alhamdulillah. DIA akhirnya memberikan jawapan itu buat saya. Akhirnya saya memilih untuk pulang. Tak jadi ke Jepun. Insya-ALLAH. Jika tiada apa-apa halangan, saya merancang untuk ke sana cuti musim dingin yang akan datang. Insya-ALLAH.

Segala urusan pembelian tiket balik ALLAH permudahkan walaupun ada sedikit masalah pada nama semasa booking. Boleh pulak tertinggal nama! Excited sangat kot masa booking tu, sampaikan nama penuh sendiri pun lupa. Erk? Boleh eh gitu? Lepas tu terus hantar komen kat twitter syarikat penerbangan. Alhamdulillah. Tengah hari tadi semuanya sudah dibetulkan. Segalanya smooth je. Alhamdulillah. :)

Ummi, We dan adik-adik pun bila dikhabarkan yang saya confirm balik, semuanya excited. Plan bercuti bersama keluarga juga sudah dirancang. Wow! Tak sabar nak balik! *Jangan plan tu clash dengan program saya sudah la...*

Syukran lillah. Hamdan lillah. Terima kasih, Ya ALLAH atas segala nikmat dan ujian-MU ini. Bila ini terjadi pada saya, saya dapat rasakan yang ALLAH itu dekat saya dengan saya. ALLAH itu Maha Mendengar bukan? Jadi, jangan pernah putus asa untuk mengadu segalanya hanya pada-NYA. DIA sentiasa ada.

"Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."
-Qaf,50: 16-

Subhana-ALLAH. ALLAHU AKBAR! ALLAH sudah nyatakan bahawa DIA dekat dengan kita. Yakinlah bahawa DIA mengetahui dan mendengar setiap aduan dan doa kita. Teruskan berdoa. Sentiasa ingat pada-NYA. DIA juga pasti akan mengingati anda.


Nota 1: Ketahuilah hati-hati kita ini, DIA yang pegang. Hanya DIA. Tiada yang lain. Berserahlah hanya pada-NYA. DIA tahu apa yang terbaik buat dirimu.

Nota 2: Ketahuilah hanya dengan mengingati ALLAH, jiwa akan menjadi tenang. :)

"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenteram."-Ar-Ra'd,13: 28-

Nota 3: Dah boleh fokus pada mid-term exam yang akan bermula Isnin depan.

P/S: Saya ada nak kongsi fasal exam, doa dan tawakal sebenarnya. Insya-ALLAH. Tunggu next update ye^^ (Tengok perasan lagi. Ada ke orang yang tunggu?)




Tuesday, October 4, 2011

Balasan Dunia

Assalamu'alaikum wbt.

Semalam, dalam kalut-kalut, kelam-kelibut menyiapkan makanan, terjadi satu insiden berdarah. *Seram tak?*

Pisau yang sepatutnya digunakan untuk potong bawang, boleh pulak digunakan untuk potong jari. huhu..Auch! Sakitnya ALLAH je yang tahu. Astaghfirullah hal 'azim. Terus mulut berdecit sakit sambil beristighfar panjang. Darah dah menitik-nitik. Mula la rasa nak pitam tengok darah banyak. Dah la time tengah hari. Memang sesuai timing nak luka pun.

Lepas basuh luka, terus tekap dengan tisu. Kerja tak siap lagi ni ha. Kejap lagi orang nak lunch dah. Sambung buat kerja walaupun rasa jari manis berdenyut-denyut. Sedar-sedar tisu yang putih bersih sudah bertukar menjadi merah. Terus seluruh sendi jadi lembik. Memang penakut darah. Tengok darah sendiri pun dah rasa nak pitam!

Saya cakap kat housemate, "Ini ada la saya buat salah ni. ALLAH bagi balasan terus."
Memang time tu, itu je yang terlintas di benak fikiran. Itu yang keluar status kat FB tu.

Andai diri ini pernah menyakiti kalian semua,
Maafkan atas segala keterlanjuranku,
Diri ini bukan manusia sempurna,
Yang penuh dengan kekhilafan.

*kat dunia lagi ALLAH dah balas, kat akhirat tak tahu la macam mana. huhu. Astaghfirullah hal 'azim*

(Credit to my dear cousin. 4 baris kata-kata puitis di atas itu diambil dari warkah kirimannya lewat kiriman emailnya semalam. Warkah berlagu rindu awak benar-benar menyentuh hati saya.)

ALLAHU AKBAR. Takutnya bila mengenangkan balasan di akhirat nanti. Luka di jari yang sedikit ini pun rasanya sudah tidak tertanggung sakitnya. Astaghfirullah hal 'azim.

YA ALLAH, Ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kami. Ampunilah segala dosa kami. Ampunilah segala dosa kami. Hanya pada ENGKAU kami memohon keampunan.


Lepas je hantar makanan tu semua, terus housemate ajak pergi farmasi. Beli ubat luka. Bila tunjuk jari manis yang terluka tu pada pekerja di farmasi, terus dia cakap, "Teruk luka ni. Dalam pulak tu. Mesti sakit kan?"

Saya yang dengar ni cuba tayangkan senyum. Senyum yang tak berapa nak berupa senyum. Balik terus housemate tolong balutkan. Saya dah takleh buat sendiri dah. Seram! *Terima kasih banyak-banyak housemateku sayang. Eh. Eh. Semua housemates saya sayang tau!*

ALLAH. ALLAH. ALLAH. Balasan dunia yang sedikit ini pun diri ini sudah tidak tertanggung. Bagaimana dengan balasan di akhirat nanti? ALLAH....Bila terfikirkan itu, saya jadi terkelu dan terkedu. Hanya doa dipanjatkan moga-moga ALLAH mengampunkan dosa-dosa saya dan dosa-dosa kita semua.

Buat semua,
Hargailah nikmat sihat kurniaan Ilahi.
Syukuri juga nikmat sakit pemberian Rabbul Izzati.
Sesungguhnya ada hikmahnya di sebalik apa yang terjadi.
Moga diri kita menyedari dan membetulkan kekurangan diri.

Sekali lagi. Saya pohon sejuta kemaafan dari kalian semua. Maafkanlah segala kekhilafan diri ini. Maafkan saya andai ada kata yang mengguris hati. Maafkan saya andai ada perbuatan yang melukai. Asif jiddan.

p/s: To my dearest youngest sister, Wan Zhahirah Syahamah. Happy Birthday. May ALLAH bless you, adik. Semoga adik sentiasa di bawah lembayung rahmat dan kasih sayang Ilahi. Semoga ALLAH sentiasa meredhai setiap apa yang adik lakukan.

Do your best on your upcoming SPM, dik. Kami sentiasa doakan yang terbaik untuk adik. Dok molek-molek. Belajar rajin-rajin. Solat jangan tinggal. Quran jangan lupa baca...