Tuesday, December 13, 2011

Taubat Hamba Berdosa



Hati hiba mengenangkan,
Dosa-dosa yang ku lakukan,
Oh Tuhan Maha Kuasa
Terima taubat hamba berdosa...

Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah...
Terimalah...
Terimalah...
Taubatku ini.

Telah aku merasakan...
Derita jiwa dan perasaan,
Kerna hilang dari jalan...
Menuju redha-MU YA Tuhan.

Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekuranga ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah...
Terimalah...
Terimalah...
Taubatku ini.

Di hamparan ini ku meminta
Moga taubatku diterima...

Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekuranga ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah...
Terimalah...
Terimalah...
Taubatku ini.


Lagu Nasyid : Taubat Seorang Hamba
Kumpulan : Irsyadee ft Hafiz Hamidun

Monday, December 12, 2011

Eid Milad Ya Ummi!

Assalamu'alaikum wbt.

Selamat Hari Lahir, Ummi.
Semoga sentiasa diredhai dan dirahmati ALLAH dalam apa jua perlakuan dan perbuatan.
Semoga sentiasa dikurniakan nikmat kesihatan untuk terus beribadah kepada-NYA.
Kakak sayang Ummi sangat-sangat.
Kakak sayang Ummi kerana ALLAH.
Tak sabar nak jumpa Ummi.


Nota 1 : 12 Disember 2011, bermulanya peperiksaan akhir sem musim luruh. Walaupun minggu lepas dah selesai menjawab satu kertas. Selamat menghadapi peperiksaan buat semua terutama kepada pelajar-pelajar di Korea Selatan. Bittaufiq wannajah fil imtihan. Rabbuna yusahhil!

Nota 2 : Mahu pengsan rasanya jawab dua kertas yang agak 'membunuh' hari ini. Fuuuuuh! Alhamdulillah sudah lepas. Tawakal 'alallah. Hanya DIA yang tahu apa yang terbaik untuk saya.

Nota 3 : Tak sabar mahu tunggu hari Sabtu. Tapi apa pun, masih ada 3 kertas yang menanti. Masih ada satu kelas yang perlu dihadiri. Harap kelas habis awal. Rajin kan lecturer saya? Saya la pula yang liat nak pergi...huhu...*Eh. Eh. Mana boleh macam tu kan? Kena bersemangat untuk menuntut ilmu! Yosh!*

Wednesday, December 7, 2011

Menahan Marah dan Sabar

Assalamu'alaikum wbt.

Menonton short film-Tomato ini benar-benar kena dengan situasi saya saat ini. Alhamdulillah. ALLAH mahu beri saya peringatan rupanya. DIA takdirkan saya tergerak hati untuk menonton filem pendek ini. Alhamdulillah.


Saat menonton, terasa tebal kulit muka. Tepat terkena pada batang hidung sendiri. Saya seolah-olah melihat diri saya pada watak Mazlan. Mudah sangat nak naik darah. Cepat panas baran. Senang nak melenting. Sememangnya baru sekejap tadi saya hilang sabar. ALLAHU ALLAH. Terus DIA bagi saya filem pendek ini. Sayangnya DIA pada saya. Tapi saya yang tak sayang diri saya sendiri bila saya membiarkan syaitan menguasai diri saya dengan menyemarakkan perasaan marah ke dalam diri. T__T *Istighfar*

Terdetik di hati saat melihat Mazlan menengking Rozaid, 'Cepatnya dia hilang sabar. Macam aku la juga. Tapi dah 'hot' seround. Astaghfirullah hal 'azim....'

Benar-benar tersentuh saat Mazlan menyedari kekhilafannya dan dia membaca surah Ali Imran ayat ke-134.

Hati kecil berkata lagi, 'Bagusnya Mazlan ni. Memang dia panas baran. Tapi dia cepat sedar. Dia tak membiarkan emosinya terus-terusan begitu. Aku? huhu...'

Tak puas hati dengar Mazlan baca. Terus tarik tafsir Al-Quran, cari ayat 134 yang Mazlan baca tadi. Terhenyak seketika. Dush! Dush! Macam kena lempang laju-laju. Kena sebiji lagi. ALLAHU ALLAH.

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa., (iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan ALLAH mencintai orang yang berbuat kebaikan."
[Ali Imran, 3:133-134]

Terfikir. Layakkah diri ini nak mendapatkan syurga yang luasnya langit dan bumi tu? 'Kalau perangai tak semenggah, jangan harap la kau nak dapat!' Suara hati kecil menerjah. Ha..kan kena perli dengan cik hati kecil. huhu...

Teringat Hadis 16 dalam Hadis 40 Imam Nawawi. Perihal marah.

Daripada Abu Hurairah r.a.: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: "Berikan daku wasiat."
Baginda bersabda: "Janganlah engkau marah."
Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali.
Baginda tetap bersabda: "Janganlah engkau marah."
[Hadis riwayat Bukhari]

Jangan marah. Iya. Itu yang Rasulullah SAW tekankan. Perlu sabar. Iya. Sabar adalah penyelesaian kepada jangan marah. Bila kita sabar, kita tak akan nak melenting tidak tentu fasal. Bila sabar, kita boleh berfikir dengan rasional. Bila kita sabar, kita akan jadi tenang. Dada takde la nak berombak menahan kemarahan. *Nasihat kepada diri sendiri*

Ada beberapa cara untuk menghilangkan sifat marah :
1. Doa - agar dibimbing oleh Allah.
2. Membiasakan diri dengan zikrullah - Quran, tasbih, istighfar dll.
3. Sentiasa ingat peringatan-peringatan yang diceritakan ALLAH dalam Quran, pahala orang yang dapat mengawal dirinya - bidadari di Syurga.
4. Ta’wiz dari syaitan / ambil wudhu’.
5. Ubah kedudukan - berdiri - duduk - baring.
6. Berikan hak badan - tidur , rehat dan tidak memenatkan badan.

Insya-ALLAH, semua ini akan saya aplikasikan. Tak nak dah marah tak tentu fasal lepas ni. Orang yang cepat melatah ni orang yang tak matang kan? Macam mana mahu menjadi contoh ikutan jika diri sendiri masih terpalit daki-daki hitam bukan?

Rasulullah SAW itu kalau baginda tidak sabar, kalau baginda tidak menahan marah, Islam tidak akan sampai pada kita pada hari ini. Lihatlah bagaimana baginda dicaci, dihina, dibaling batu. Namun adakah baginda marah? Adakah baginda melenting? Bahkan saat malaikat datang memohon izin dari baginda untuk memusnah penduduk Thaif, baginda melarang. Malah baginda mendoakan semoga generasi Thaif yang akan datang menerima Islam. Tidak lama selepas itu, seluruh penduduk Thaif beragama Islam.

Nah, lihat. Itu semua berkat kesabaran baginda. Itu qudwah hasanah kita. Itu contoh ikutan yang terbaik untuk kita semua.

Sedarlah wahai diri. Marah itu tidak baik untuk dirimu. Sabar itu yang baik bagimu. Marah itu kawannya syaitan. Sabar itu kawannya Tuhan.

Nota 1 : Akan terus berusaha dan berusaha membuang sifat mazmumah ini. Insya-ALLAH.

Nota 2 : ALLAH sentiasa ada dekat dengan kita. Kita sahaja yang sering nak menjauhi diri-NYA.

Nota 3 : Mood exam + Mood balik kampung = Cuak + Excited *Hee~ ada orang dah tak sabar tunggu saya balik dengarnya. Betul ke? :P*


Tuesday, December 6, 2011

Mensyukuri Setiap Kurniaan-NYA

Assalamu'alaikum wbt.

Sejak menulis entry "Ujian; Tarbiyah Dari ALLAH", saya rasakan hari-hari yang saya lalui memang tidak terlepas dengan ujian dari-NYA. Seolah-olah ALLAH ingin menguji kesabaran saya. Sepertinya ALLAH ingin tahu adakah apa yang saya tulis seiring dengan perbuatan saya. Alhamdulillah, syukur pada-NYA. DIA sentiasa mengingatkan saya. Alhamdulillah.

Memetik kata-kata Inche Gabbana, "Jalan ini sumpah panjang." Panjang dan berliku-liku saya kira. Kalau kita telusuri seerah para nabi, kita akan dapati betapa banyaknya ujian dan dugaan yang setiap dari mereka hadapi untuk berdakwah, untuk sampaikan Islam pada kaum mereka.
Selama 950 tahun nabi Nuh menyampaikan Islam, berapa orang saja yang menjadi pengikutnya. Jangka masa 950 tahun itu teramat panjang kan? Namun kalau tak silap saya, tak sampai 100 orang pun yang berjaya nabi Nuh dakwahkan.

Persoalannya di sini, adakah nabi Nuh berputus asa? Tidak bukan? Baginda berusaha dan terus berusaha sehingga 950 tahun. ALLAHU AKBAR. Betapa tabahnya baginda mengharungi 345, 750 hari menyampaikan dakwah tanpa mengenal erti penat dan lelah.

Cuba hayati kisah Nabi Muhammad SAW pula. Bagaimana baginda dilontarkan dengan batu ketika berdakwah di Kota Thaif. Habis berdarah badan baginda. Bagaimana kaum Quraisy mengancam untuk membunuh baginda sehingga baginda membuat keputusan untuk berhijrah ke Madinah.

Kita lihat pula bagaimana para sahabat diseksa. Bilal Bin Rabah dihempap dengan batu. Sumayyah dan keluarganya dijemur di tengah padang pasir yang panas membahang. Khabab disalai di atas api. Semuanya kerana mereka menerima ajaran Islam; agama ALLAH.

Namun, adakah mereka berpaling daripada menyembah ALLAH Yang Satu? Tidak bukan? Bahkan pendirian mereka makin teguh. Keimanan mereka makin mantap. Kesetiaan mereka kepada Rasulullah SAW makin utuh dan teguh. Subhana-ALLAH. Masya-ALLAH. Sungguh hebatkan mereka?

Cuba lihat diri kita hari ini. Adakah kita menghadapi kesukaran seperti para nabi dan sahabat dalam berdakwah? Tidak bukan? Jika ada pun, mungkin tidak seteruk yang orang terdahulu hadapi.

Kita patut bersyukur. Bersyukur dengan setiap kurniaan-NYA. Bersyukur kita tidak menghadapi dugaan seperti yang mereka hadapi dalam berdakwah. Alhamdulillah.

Namun, kita kadang terlepas pandang bukan? Kita asyik sahaja merungut. Ada masalah sikit mengeluh. Tiada persefahaman sikit, kita sudah membentak. ALLAHU ALLAH. Ampunkanlah dosa hamba-MU ini, YA ALLAH. Betapa diri ini tidak mahu bersyukur dengan kurniaan-MU. Betapa diri ini tidak menghargai pemberian dari-MU. Ampunilah diri ini, YA ALLAH.

Cuba lihat orang sekeliling kita yang ALLAH tarik nikmat penglihatan mereka. Namun, mereka masih berusaha untuk belajar menulis jawi. Belajar membaca Al-Quran menggunakan tulisan Braille. Subhana-ALLAH. Terasa diri yang serba sempurna ini kalah dengan mereka. Malu dengan mereka. Kenapa diri ini asyik sahaja mahu mengeluh? Kenapa diri ini asyik sahaja tidak bersyukur? ALLAHU ALLAH.

Jangan pernah mengeluh wahai diri. Jangan mudah berputus asa. Jalan ini memang panjang. Jangan ini memang berliku. Tetapkan langkah kaki. Harungi setiap ujian dari-NYA. Ketahuilah bahawa segala kesulitan itu adalah tarbiyah dari-NYA. Pengajaran yang tidak terhingga dari Yang Maha Esa. Syukurilah setiap kurniaan Ilahi. Syukurilah nikmat-NYA. Syukurilah juga ujian-NYA. Semua itu tanda DIA menyayangi diri kita.

Akhir kata, marilah menjadi hamba yang bersyukur.

Nota 1 : Syukuri nikmat kurniaan Ilahi. Hargai ujian pemberian Rabbi.

Nota 2 : Kita perlu saling meraikan antara satu sama lain. Hakikatnya ALLAH jadikan perbezaan antara lelaki dan perempuan untuk saling memahami.

P/S: Tak sabar nak dengar perkongsian talk malam serikandi dari awak^^

Nota 3 : Tersentuh mendengar kisah Abu Ubaidah Al-Jarrah yang tidak sanggup meninggalkan penduduk Syam saat penyakit taun menular. Subhana-ALLAH. Betapa mulia dan sucinya hati Abu Ubaidah. Adakah kita mampu berbuat demikian? *Muhasabah*

Thursday, December 1, 2011

Ujian; Tarbiyah Dari ALLAH

Assalamu'alaikum wbt.

Bercakap pasal ujian, hari ini adik-adik dah habis exam SPM kan? Wah...mesti sedang bergembira sekarang ni kan? Rancang cuti baik-baik ye adik sayang. Manfaatkan cuti sebaiknya dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah.

Bermula 12 Disember 2011 ini pun, warga kampus seluruh Korea Selatan akan menduduki ujian akhir semester musim luruh. Bermakna berakhirlah sesi pengajian untuk tahun 2011. Cuti akan bermula pada 19 Disember 2011 sehingga akhir Februari 2012. *Tak sabar nak cuti nih. Nak balik~~~*

Oppsss..Bukan ujian itu yang saya ingin cakapkan di sini. Ujian atau peperiksaan di sekolah itu hanya sedikit. Ujian di akhirat kelak yang sepatutnya kita risaukan. Ujian penentu sama ada kita akan ditempatkan di syurga atau akan ke neraka. ALLAH. Sungguh berat bukan? Saat menulis ini pun saya rasakan berat. Takut dengan keputusan di hari pembalasan nanti.

Hakikatnya setiap hari adalah ujian bagi kita. Everyday is exam day. Ujian itu pula adalah tarbiyah dari ALLAH. ALLAH bagi ujian pada kita untuk melihat sejauh mana kemampuan kita. Adakah kita ini akan bersabar dengan setiap ujian yang menimpa. Atau kita akan cepat melatah saat menerima ujian ALLAH?

Ujian itu ALLAH datangkan untuk menguji kita. ALLAH juga bagi ujian kepada kita untuk menjadikan kita lebih baik dari sebelumnya. Selagi kita tidak lulus ujian itu, selagi itulah ALLAH akan uji kita.

"Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu, dan akan Kami uji perihal kamu."
[Muhammad, 47:31]

Setiap orang akan diuji. Namun ujian yang dihadapi berbeza mengikut tahap dan situasi kita. Ujian seorang imam berbeza dengan ujian seorang petani. Ujian seorang guru berbeza dengan ujian seorang murid. Semuanya ALLAH bagi ujian. ALLAH pun ada cakap kan pasal DIA akan bagi ujian ni pada kita.

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
[Al-Baqarah, 2:155]

Malam ini, saya jadi terharu dengan nasihat dan pesanan dari seseorang yang dekat dengan saya. Sungguh, saat membaca bait-bait yang terlakar, air mata hampir menitis. Dan sayang makin menggunung untuk beliau.

"Kuatkan tarbiyah dzatiyah ye"
"Makin lama makin besar mehnah ujian kita nak hadapi."
"Hanya berbekal dalaman yang mantop je kita dapat terpilih untuk lalui ujian-ujian tu."
"Tawakal alallah"

Mungkin ayat ini biasa-biasa saja. Tapi bagi saya, patah-patah kata ini mampu menenteramkan hati dan jiwa saya yang berkecamuk sekarang ini. Dengan final exam yang tinggal lagi seminggu je. Dengan macam-macam perkara lagi yang belum selesai. Dengan banyak benda yang berlaku. Memang bila mendapat nasihat dan pesanan ini, saya bagai disimbah air sejuk. Memang cuaca di sini sejuk, bayu dingin membelai pipi. Namun, bayu dingin itu tidak berjaya menyejukkan hati.

Pada entry sebelum ini saya ada bercakap pasal ini :

Berhati-hatilah ketika berbicara. Banyak berbicara hal yang berfaedah dan baik tidak mengapa. Jangan bercakap hal yang tidak berfaedah. Teringat satu hadis.

"Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhir, hendaklah ia berkata-kata yang baik atau diam" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ditakdirkan ALLAH ingin menguji saya dengan bicara. Selepas itu saya memang diuji perihal berbicara ini. ALLAH...Terasa ALLAH begitu dekat dengan saya saat itu. DIA memang sentiasa tahu apa yang setiap dari hamba-NYA lakukan.
Alhamdulillah 'ala kulli hal. Astaghfirullah min kulli zanb. Segala puji bagi ALLAH di atas segala hal. Ku pohon keampunan kepada ALLAH atas segala dosa.


Insya-ALLAH, selepas ini saya akan lebih berhati-hati dengan setiap patah kata saya. Betullah, "Kata-kata itu lebih tajam dari mata pedang."
Ujian itu tarbiyah dari ALLAH. Semoga kita sentiasa mengambil ibrah dari setiap ujian yang menimpa. Semoga kita bersabar menghadapi segala ujian-NYA. Insya-ALLAH.
"...Dan ALLAH itu beserta orang-orang yang sabar."
[Al-Baqarah, 2:249]
Setiap ujian yang ALLAH datangkan itu akan bersesuaian dengan kita. ALLAH sama sekali tidak akan membebankan hamba-NYA melebihi kemampuan mereka.
"ALLAH tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya."
[Al-Baqarah, 2:286]
Nota 1 : Berusaha untuk menjadi lebih baik dari semalam. Perlu lebih teliti dalam berbicara.
Nota 2 : Khas buat sahabat yang jauh di mata tapi dekat di hati^^
Fatin Marini sayang~
Selamat Hari Lahir.
Happy Birthday. (Belated dah kan?)
생일 축하해요.
Semoga menjadi muslimah yang mampu mengoncangkan dunia. Semoga sentiasa di dalam rahmat dan maghfirah Yang Maha Esa. Insya-ALLAH. Saya tahu awak akan jadi Teacher Marini nanti. Tapi saya nak jugak suruh awak apply teori Fizik ni. hihi^^ Semoga pertambahan usia berkadar langsung dengan peningkatan amal. *Virtual big hugs and kisses for you, my dear*
Nota 3 : Contest Video Osem Angel Pakai Gucci masih dibuka sehingga 15 Disember 2011. Sesiapa yang berbakat, jom la sama-sama meriahkan pertandingan video osem tu ye^^

Sunday, November 27, 2011

Sekitar AGM

Assalamu'alaikum wbt.

Semalam, 26 November 2011 berlangsungnya Annual General Meeting (AGM) di Engineering Building B106, Yonsei University. Saya kira AGM tahun ini perlu dilakarkan kisahnya di kanvas Segalanya Untuk-MU ini. Mesti ada yang tertanya-tanya bukan? Kenapa? Apa yang menarik sangat sehinggakan hendak mengabadikan Mesyuarat Agung Tahunan ini di sini. Bukan selalunya mesyuarat bosan ke?

Ya. Memang bosan. *Hee~Jangan marah saya ye. Saya cuma bercakap jujur.* Tapi tidak untuk meeting kali ini. Saya dapat sesuatu yang bermakna daripadanya.

Saya amat tertarik dengan pendekatan yang Pengerusi SPR 10/11 gunakan bagi mengisi masa senggang sementara menunggu keputusan undi diumumkan. Beliau mengisi sedikit masa itu dengan mengutarakan soalan kepada semua yang hadir. Soalan yang diutarakan pula bukan hanya saja-saja. Penuh makna, baik tersurat mahupun tersirat.
Beliau ada bertanya, "Kenapa nak jadi pemimpin ye?"

Ramai yang menjawab. Jawapan lebih kurang sama. Antara jawapannya,
"Nak dapat sijil."
"Nak cantikkan resume."
"Nak asah bakat."
"Untuk lebih bertanggungjawab."
"Untuk tahu kelebihan diri."
Namun, ada seorang junior dengan berani dan lantangnya bersuara, "Pada saya, kita nak jadi pemimpin untuk tahu kelemahan diri kita. Selama ni kita tak sedar kelemahan tu, tapi dengan memimpin kita jadi sedar adanya kelemahan kita pada sudut-sudut tertentu." (Jawapannya lebih kurang begini. Mungkin tidak sama sepenuhnya. Harap maklum.)

'Owh, snap!' Zassssssss....Saya yang ketika itu sedang berkipas kerana keadaan dewan yang panas terhenti mengipas. Terpaku dan terpegun seketika mendengar jawapan junior tersebut. Masya-ALLAH. Sungguh terkesan di hati.

Rupa-rupanya selama ini kita mencari kelemahan diri sendiri semasa memimpin. ALLAH...Silap rupanya anggapan saya selama ini. Ingatkan bila dah jadi pemimpin, kelebihan yang ada pada diri dapat diketengahkan. Rupanya dengan menjadi pemimpin kita dapat mengenal pasti kelemahan diri kita.

Soalan dan jawapan yang benar-benar membuka minda saya. Rasanya seluruh isi dewan juga berfikiran seperti saya.

Ada satu lagi soalan yang juga membuatkan saya tidak teragak-agak untuk terus mengiyakan jawapannya.

"Masa belajar kat mana kita letak diri kita? Atas lecturer ke bawah lecturer?"(Maaf. Saya lupa ayat sebenarnya macam mana. Tapi lebih kurang beginilah maksud soalannya.)


Setelah mendengar jawapan ahli dewan. Beliau dengan tenangnya menjawab, "Kita perlu meletakkan diri kita serendah yang mungkin ketika menuntut ilmu."

Dewan yang tadinya hingar-bingar menjadi sepi. Mungkin tertarik dengan ulah yang tuan pengerusi suarakan. Kemudian beliau menyambung lagi bicaranya.

"Air hujan yang turun. Kita tadahkan dengan bekas. Tempat mana yang paling banyak menakung air? Bahagian bawah bekas yang melengkung atau bahagian atas bekas?"

Ramai yang menjawab, "Bawah."

"Mestilah bahagian bawah yang dapat takung banyak air kan? Macam tu juga la kita dalam menuntut ilmu. Kita kena letakkan diri kita di tempat yang paling bawah. Barulah kita akan dapat menimba banyak ilmu."

Saya yang mendengar sekali lagi terpegun dan terpana dengan bait-bait bicaranya. Terus sahaja kepala terangguk-angguk seperti burung belatuk. Sangat-sangat bersetuju dengan kata-katanya.

Saya jadi teringat Ummi selalu pesan pada saya. "Kita kalau nak rapat dengan orang-orang tua, kita kena buat kita tak tahu pasal benda tu. Walaupun hakikatnya kita tahu pasal benda tu. Nanti mereka akan bagitahu kita macam-macam. Dari situ pengetahuan kita akan bertambah. Berbeza dengan kalau kita buat-buat tahu. Dan memang kita tahu pun. Orang takkan bagitahu kita apa-apa sebab bagi dia kita memang dah tahu pasal tu."

Betul. Maknanya di sini, dalam menuntut ilmu ni kita perlu merendah diri. Barulah ramai guru kita. Barulah kita dengan mudah menerima sesuatu ilmu itu. Sebab kita menganggap kita tidak tahu dan kita ingin tahu.

Alhamdulillah. ALLAH izinkan saya mendapat sesuatu yang amat berharga dan bernilai semalam. Saya amat berharap, akan wujud makin ramai lagi insan yang boleh bercakap sambil memberikan input yang berguna seperti tuan pengerusi SPR 10/11 ini.

Saya masih ingat sampai sekarang kata-kata yang dilontarkannya lama dulu. "Kata-kata kita melambangkan siapa kita."

"We are what we read." Ya. Tentunya kata-kata yang penuh hikmah dan makna ini memerlukan ilmu bukan? Salah satu sumber ilmu ialah dengan membaca. Bahan bacaan itu pula perlulah bermanfaat dan bukannya picisan semata.

Berhati-hatilah ketika berbicara. Banyak berbicara hal yang berfaedah dan baik tidak mengapa. Jangan banyak bercakap hal yang tidak berfaedah. Teringat satu hadis.

"Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhir, hendaklah ia berkata-kata yang baik atau diam."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Akhir kata, kita dihormati dan disegani kerana akhlak dan peribadi kita.

Nota 1 : Ingin mencontohi akhlak dan peribadi orang-orang yang disegani. Sungguh, Rasulullah itu sebaik-baik contoh ikutan.

Nota 2 : Sejuk mata dan hati bila melihat orang-orang yang indah akhlak dan peribadi. Berharap dapat menjadi salah seorang dari mereka.

Nota 3 : Semuanya indah dan bermakna jika diniatkan hanya kerana ALLAH. Hatta memakai kasut sekalipun, banyak pahala dapat dikumpulkan jika niatnya untuk mengikut sunnah, menjaga keselamatan dan sebagainya.

Ahlan Wasahlan 1433H

Assalamu'alaikum wbt.

Semalam menaip entry dengan kelam-kabut. Alhamdulillah. Hari ini kita sudah melangkah ke tahun baru 1433H. Ahlan Wasahlan 1433H. Hari ini 1 Muharam 1433H.

Bulan Muharam merupakan bulan pertama yang dipilih oleh Saidina Umar Bin Al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Satu ilmu baru bagi saya, apabila membaca blog Dr. MAZA pagi tadi. Rupa-rupanya bulan Muharam bukan bulan hijrah Rasulullah seperti yang saya selalu dengar sebelum ini. Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah bersama Saidina Abu Bakar pada penghujung bulan Safar dan tiba pada 12 Rabiul Awal di Madinah.

Apa pun tidak salah kiranya jika kita berhijrah daripada yang tidak baik kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik sempena tahun baru 1433H ini. Hakikatnya keazaman dan keinginan untuk memperbaiki diri itu perlu diperbaharui dari semasa ke semasa. Dengan harapan semoga setiap kali pembaharuan niat dibuat, kita akan makin bersemangat dan berusaha lebih gigih untuk menjadi lebih baik. Insya-ALLAH. (Lebih kepada memperingati diri sendiri sebenarnya.)

Memang. Memang sakit untuk berubah. Saya akui itu. Saya pun masih berusaha membuang saki-baki karat jahiliyah dalam diri. Daki-daki jahiliyah yang masih tegar melekat di badan ini memang masih banyak yang perlu dibuang. Ya. Diakui memang susah sangat untuk berubah. Namun itu tidak bermakna kita perlu berputus asa bukan? Ibarat air yang menitis di atas batu yang keras. Lama kelamaan batu itu akan melekuk jua. Oleh itu, jangan pernah berputus asa untuk berubah menjadi lebih baik. Saya juga sedang berusaha ke arah itu. Insya-ALLAH.

Kepada yang mengenali diri saya. Baik insan-insan yang berada dekat dengan saya. Mahupun insan-insan yang saya tidak pernah bersua muka. Andai kata kalian melihat kepincangan diri ini, saya mohon. Tegurlah. Tanpa teguran kalian, mungkin usaha saya untuk meninggalkan karat-karat jahiliyah ini makin sukar.

Salam tahun baru 1433H buat semua.