Friday, June 1, 2012

Saya Begini, Awak Begitu

Assalamu'alaikum wbt.

Dalam kehidupan sehari-hari kita ni, kita tidak akan terlepas untuk berurusan dengan orang kan? Pergi kelas, ada pelajar dan pendidik. Pergi kedai, ada penjual dan pembeli. Naik bas, ada pemandu dan penumpang. Pendek kata, memang kita akan berurusan dengan pelbagai jenis orang setiap hari. Kita akan menemui pelbagai ragam dan gelagat manusia setiap hari.

Saya, sejujurnya, masih belum mampu untuk bersabar dalam beberapa hal yang melibatkan saya perlu berurusan dengan orang ini. Huhu. ALLAHU ALLAH. Mesti akan sampai pada satu tahap, saya sudah tidak mampu menahan sabar saya lagi. Maafkan saya. Saya masih berusaha untuk mengawal emosi dan rasa marah ni.

 Banyak udang banyak garam.
 Banyak orang banyak ragam.

Lain padang lain belalang
Lain lubuk, lain ikannya.

Benar. Bagai bidalan dan pepatah di atas. Pandai kan, orang-orang terdahulu mencipta kata bidalan yang memang benar dan wujud keadaan itu sehingga ke hari ini. Setiap orang punya karenah dan tingkah yang tersendiri. Kita sesama adik-beradik pun selalu bertelagah dan bercanggah pendapat juga kan? Inikan pula kita dengan kawan-kawan dan orang sekeliling kita. 

Patutlah orang kata, untuk betul-betul mengenal seseorang itu kita perlu berpergian (baca : bermusafir) dengannya terlebih dahulu. Dari situ kita akan kenal perangainya macam mana. Apa reaksi dia kalau dia marah, apa telatah dia kalau dia gembira dan sebagai. Jika kita belum pernah travel bersama dengannya, maknanya kita belum betul-betul mengenali orang itu lagi.

Kalau nak tahu, itu jugalah piawaian dan kayu ukur yang Saidini Umar Al-Khattab letakkan bagi menilai agama dan akhlak seseorang.

Ketika datang seorang lelaki yang memberikan kesaksian untuk seseorang, Umar bertanya kepadanya:


Umar     : Adakah kamu mengenal orang ini?
Sahabat : Ya.
Umar     : Adakah kamu berjiran dengannya dan mengetahui saat dia keluar masuk?
Sahabat : Tidak.
Umar     : Adakah kamu pernah menemaninya dalam satu perjalanan (musafir) dan        
               mengenal kemuliaan akhlaknya?
Sahabat : Tidak.
Umar     : Adakah kamu pernah berinteraksi dengannya yang melibatkan dinar dan dirham     
              (duit), sehingga kamu mengenal sifat hati-hatinya?
Sahabat : Tidak.
Umar     : Mungkin kamu pernah melihatnya berdiri dan duduk solat di masjid, mengangkat kepalanya pada suatu ketika dan menundukkannya pada saat yang lain?
Sahabat : Ya.
Umar     : Pergilah. Sungguh kamu tidak mengenalnya. 
(Dipetik dari blog kak Fatimah Syarha)

Memang diakui, agak sukar untuk kita sentiasa berjumpa dengan orang yang 'sekepala' dengan kita. Yang banyaknya asyik berjumpa dengan orang yang 'tidak ngam' sahaja. Betul tak? ALLAH jadikan setiap dari kita ini berbeza pasti ada sebabnya. ALLAH tidak akan menjadikan setiap sesuatu itu sia-sia.

"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu  berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. 
Sungguh, ALLAH Maha Mengetahui, Maha Teliti." 
[Al-Hujurat, 49, 13]

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-NYA ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui." 
[Ar-Rum, 30:22]

Nampak kan? Itu yang ALLAH beritahu kita di dalam surat cinta-NYA. DIA jadikan kita berbeza untuk kita saling mengenal. Jadinya, memang akan wujudlah awak begitu, saya begini apabila kita berbeza. Saya suka itu, awak suka ini. Saya kata begini, awak kata begitu. Sebab itulah kita perlu pandai dalam berurusan dengan semua orang. Public relation (PR) perlu mantap. Barulah kita dapat 'masuk' dengan semua orang dan dapat berurusan dengan lancar dengan semua orang. 

Bagaimana mahu selesaikan masalah 'Saya Begini, Awak Begitu' ini? Hmm..perlulah berlapang dada, tidak mudah melatah, bersabar, bertimbang rasa dan bertolak ansur ketika berurusan. Okay. Saya akui, bukan senang untuk mempraktikkan formula ini. Insya-ALLAH, sama-sama kita cuba ye sahabat sahibah. Saya juga masih berusaha untuk menterjemahkan teori ini ke dalam praktikal. Insya-ALLAH. 

Apa yang penting, kita sama-sama meraikan perbezaan masing-masing dan kita sama-sama mencari persamaan antara kita. Jangan asyik menuding jari pada orang sahaja, kerana ada 4 lagi jari yang menghala ke arah kita. Perlu juga mengakui kesalahan sendiri. Jangan dilayan sangat ego yang hadir di dalam diri. Barulah perhubungan itu harmoni. 

Insya-ALLAH. Sama-samalah kita mempraktikkanya dalam kehidupan. Saya yang menulis ini lagi-lagi lah perlu mempraktikkan apa yang saya tuliskan. Doakan saya ye sahabat sahibah. 

Nota 1: Menjelang 3 minggu untuk mengakhiri semester musim bunga hari-hari yang dilalui makin hectic. Projek datang silih berganti, kuiz juga berbaris-baris pinta diduduki, tugas-tugas yang lain juga ikut beratur pinta dilunasi. 

Nota 2: Sedar tak sedar. Hari ini sudah 10 Rejab 1433H. Bermakna ada lagi 30 hari untuk bertemu dengan Ramadhan. Allahumma ballighna fi Rajab wa Syaaban wa ballighna Ramadhan. Ya ALLAH, sampaikanlah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan. Ayuh, berlatih dari sekarang untuk berlumba beramal di bulan Ramadhan nanti. Tumuhat (baca: obsesi) saya untuk Ramadhan kali ini mahu menjadikannya yang terbaik. Amal yang terbaik yang mampu saya persembahkan di hadapan Rabbi nanti. Seterusnya akan kekal istiqamah dalam beramal pada bulan-bulan selepasnya. Insya-ALLAH. Moga saya diberikan kesempatan oleh-NYA untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan kali ini. 





No comments: