Hari ni tanggal 17 Ramadhan 1432H. Kalau di Malaysia, seluruh negara cuti pada hari ni sempena sambutan Nuzul Quran -hari di mana Al-Quran diturunkan. Pada tanggal 17 Ramadhan 2H juga berlaku satu lagi peristiwa besar dan amat penting dalam Islam iaitu Perang Badar. Perang pertama bagi umat Islam. Pada tahun itu juga buat pertama kalinya umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan.
Subhana-ALLAH. Masya-ALLAH. Walaupun dalam keadaan lapar dan dahaga kerana berpuasa, Nabi dan para sahabat ketika itu tidak gentar menghadapi pihak lawan. Dalam keadaan kekurangan kelengkapan bersenjata dan bilangan pihak lawan yang berkali-kali ganda lebih ramai, namun hal itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mara ke hadapan. Bayangkan, 313 orang bertempur dengan 1000 orang! Confirm la yang ramai akan menang kan? Oh, tidak! Sesekali tidak! ALLAH bersama hamba-hamba-NYA yang bertakwa dan yakin pada-NYA.
Adakah kita mempunyai semangat Badar itu? Bagaimana dengan puasa kita di bulan Ramadhan kali ini? Menahan lapar dan dahaga itu sudah tentu. Insya-ALLAH. Semua orang lulus. Itupun ada segelintir yang tidak puasa bukan? Bagaimana pula dengan nafsu kita? Adakah nafsu ammarah dapat dikawal sebaik-baiknya? Adakah pandangan kita ditahan dari melihat benda yang tidak sepatutnya? Adakah telinga kita disekat dari mendengar perkara yang tidak berkenaan? Tepuk dada, tanya iman di hati.
O...kay. Itu serba sedikit kisah Perang Badar. Saya dah baca dekat banyak blog yang menceritakan tentang kisah ini. Boleh Google je. Takpun nak lagi feel 'semangat Badar' ni, bolehlah dapatkan buku Perang Badar karya Abdul Latip Talib di kedai-kedai buku berdekatan. *promote buku pulak dah*
Minggu lepas kalau tak silap saya. Wallpost di Facebook penuh dengan link-link Koran By Heart.*Maaf, takleh letak linknya di sini sebab semua link video dah diband..ㅠ.ㅠ* Tertarik dengan post-post berkenaan. Saya tengok Koran by Heart di YouTube. Ada 6 siri kesemuanya. Subhana-ALLAH. Masya-ALLAH. ALLAHU AKBAR! Saya terpegun. Saya terpaku. Saya terpesona. Saya teruja. Melihat adik-adik yang berumur dalam lingkungan 10 tahun menghafal dan membaca Al-Quran benar-benar membuatkan diri ini insaf sendiri. Betapa beruntungnya mereka. Betapa bertuahnya mereka. Betapa malunya saya dengan mereka. Betapa kecil dan kerdilnya diri ini jika dibandingkan dengan mereka. Tak semena-mena tanpa dapat ditahan, air mata mengalir sayu di pipi.
Melihat adik Rafdha, adik Nabiollah dan adik Djamil mengaji dan menghafal Al-Quran benar-benar mengusik jiwa saya. Ibu bapa mereka benar-benar menitikberatkan tentang pengajian Al-Quran. Ayah Rifdha merancang untuk berpindah ke Yaman demi pendidikan anak-anaknya. Subhana-ALLAH. Masya-ALLAH. Sampai begitu sekali prihatinnya seorang bapa terhadap pendidikan anak-anaknya.Bagaimana pula dengan kita? Refleksilah diri sendiri. Bagaimana tahap penghayatan Al-Quran kita? Bagaimanakah tahap pengamalan bacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian kita? Renunglah jauh ke dasar hati. Adakah kita mengimpikan generasi akan datang menghayati Al-Quran? Jika itu yang menjadi impian, mulakanlah dari sekarang. Mulakan dengan diri sendiri. Tingkatkan pembacaan Al-Quran. Tidak lupa juga mempelajari ilmu tajwid dan menghayati setiap bait-bait kalam yang dilafazkan. Bertilawahlah. Bertadaruslah. Bertadabburlah.
Dampingilah Al-Quran. Itu manual yang ALLAH bagi kepada kita semua sebagai panduan hidup di dunia. Manfaatkanlah ia sebaik mungkin. Insya-ALLAH, jika dimulakan dari sekarang, tidak mustahil akan wujud generasi Al-Quran kelak. Jika masyarakat Islam sedar dan mengamalkan Islam secara total, mengamalkan Islam dalam erti kata yang sebenar...Insya-ALLAH, kita akan melahirkan generasi Al-Quran di masa hadapan. Insya-ALLAH. Yang penting, berusahalah mulai sekarang. Kalaupun kita tidak dapat melihat sendiri kewujudan generasi Al-Quran itu, biarlah kita antara orang yang berusaha untuk melahirkannya.
Al-Quran bukan turun sekaligus. Al-Quran mengambil masa selama 23 tahun untuk complete. Kalau manusia, usia 23 tahun itu sudah remaja. Sudah agak matang. Sudah habis degree. Tentu ada sebab bukan kenapa ALLAH turunkan Al-Quran secara berperingkat-peringkat? Ada. ALLAH ada bagitahu dalam Al-Quran.
"Dan orang-orang kafir berkata,"Mengapa Al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekaligus?"Demikianlah, agar Kami memperteguh hatimu (Muhammad) dengannya dan Kami membacakannya secara tartil (beransur-ansur, perlahan dan benar)." -Al-Furqan,25:32-
Sebabnya adalah ALLAH mahu Nabi Muhammad benar-benar memahami isi kandungan Al-Quran. Benar-benar mengamalkannya. ALLAH juga ada sediakan tips untuk membaca Al-Quran. Bacalah Al-Quran secara tartil; mengikut tajwid dan makhrajnya.
Saat melihat adik-adik cilik ini membaca Al-Quran, terlintas di hati saya untuk memiliki permata hati seperti mereka. Sejuk mata memandang. Tenang jiwa dan raga. Kalau mahukan anak seperti itu tentulah saya kena mulakan dengan diri saya kan? Ibu bapalah yang mencorakkan anak-anaknya. Saya yakin, bukan saya seorang sahaja yang inginkan permata-permata hati generasi Al-Quran ini. Jadinya, marilah sama-sama kita berusaha memperbaiki diri, mempertingkatkan mutu bacaan Al-Quran kita semua. Insya-ALLAH. ALLAH akan menolong hamba-NYA yang benar-benar bersungguh-sungguh. Insya-ALLAH. Bersama kita merealisasikannya. Moga-moga mujahid dan mujahidah yang bakal lahir nanti merupakan generasi Al-Quran yang kita ingini. Insya-ALLAH.
"Rabbana hablana azwajina wa zurriyaatina qurrata 'a'yun, waj'alna lil muttaqiina imaamaa."
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertakwa."Al-Furqan,25:74
No comments:
Post a Comment